JK Parlimen mahu sesi pendengaran Perjanjian Dagang Malaysia–AS

Iklan
Chen (tengah) ketika sidang akbar di Pusat Media Parlimen pada Selasa.

SHAH ALAM – Satu sesi pendengaran perlu diadakan bagi meneliti secara menyeluruh Perjanjian Perdagangan Timbal Balas antara Amerika Syarikat (AS) dan Malaysia yang dimeterai pada Ahad lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Parlimen bagi Hubungan dan Perdagangan Antarabangsa, Wong Chen berkata, sesi berkenaan bertujuan memberi ruang kepada kerajaan untuk memberikan penjelasan, khususnya berkaitan komitmen negara terhadap perjanjian perdagangan pelbagai hala.

Iklan
Iklan

“Selain itu, ia turut membabitkan perjanjian perdagangan bebas (FTA) dan kerjasama ekonomi dengan negara-negara yang tidak sehaluan dengan dasar Amerika Syarikat, termasuk anggota BRICS seperti Brazil, China, Rusia dan India.

“Kami berhasrat untuk menjemput Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Kedutaan AS di Malaysia, pakar ekonomi dan wakil dewan perdagangan bagi memberikan pandangan dan menjawab pertanyaan,” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Media Parlimen, pada Selasa.

Iklan

Sebelum ini, Malaysia dan AS telah menandatangani satu perjanjian perdagangan timbal balas yang membolehkan Malaysia memperoleh akses pasaran yang lebih luas berbanding perjanjian terdahulu.

Melalui perjanjian tersebut, Malaysia bersetuju memberikan akses pasaran istimewa kepada eksport barangan industri dari AS seperti bahan kimia, jentera dan peralatan elektrik, logam serta kenderaan penumpang.

Iklan

Wong Chen berkata, meskipun Parlimen tidak mempunyai kuasa untuk mengundi terhadap perjanjian itu, namun ia tetap memikul tanggungjawab untuk memastikan kerajaan bertanggungjawab atas keputusan dasar yang dibuat.

“Kami sekali lagi ingin menegaskan kepentingan memperkasa profesionalisme JKPK Parlimen agar ia benar-benar bebas dan tidak bersifat partisan.

“Bagi mencapai matlamat tersebut, sokongan institusi dan sumber yang mencukupi amat diperlukan,” katanya.