[VIDEO] Pembangkang desak sidang tergempar bahas perjanjian dagang Malaysia–AS

Iklan

KUALA LUMPUR – Pihak pembangkang mengemukakan usul mendesak agar Dewan Rakyat mengadakan sidang tergempar bagi membincangkan Perjanjian Perdagangan Timbal Balas antara Amerika Syarikat (AS) dan Malaysia yang dimeterai pada Ahad kerana didakwa boleh mendatangkan banyak kemudaratan kepada negara.

Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, usul tersebut dikemukakan bagi menangguhkan pelaksanaan perjanjian itu sehingga ia dibahaskan dan diluluskan oleh Dewan Rakyat terlebih dahulu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, perjanjian yang dibuat antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden AS, Donald Trump didakwa lebih banyak merugikan negara daripada membawa manfaat.

“Perjanjian yang telah dimuktamadkan ini, pada pandangan ramai pihak, pakar ekonomi dan juga Perikatan Nasional (PN), amat merugikan kita. Bayangkan kita jemput Trump ke rumah kita, tapi kita pula yang perlu ikut rentaknya.

Iklan

“Sebab itu saya mendesak Yang Dipertua Dewan Rakyat supaya membenarkan perbahasan sekurang-kurangnya satu hari mengenai hal ini. Jangan luluskan perjanjian ini selagi Parlimen belum meluluskannya. Ada banyak perkara yang boleh memudaratkan agama, bangsa dan negara kita.

“Kalau kerajaan Madani tidak telus, tunggulah. Kita akan turun ke jalanan jika tidak dibenarkan perbahasan. Kami akan bawa puluhan ribu rakyat ‘turunkan Anwar’ lagi selepas ini,” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Media Parlimen, di sini, pada Selasa.

Iklan

Wan Ahmad Fayhsal ketika sidang akbar di Pusat Media Parlimen pada Selasa

Mengulas lanjut, Wan Ahmad Fayhsal berkata, tekanan yang diberikan adalah untuk memastikan kerajaan menilai semula perjanjian berkenaan secara telus dan terbuka.

Beliau turut memaklumkan bahawa Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin dijadualkan mengadakan satu sidang akhbar khas pada Khamis ini berhubung isu tersebut.

Untuk rekod, pada Ahad lalu, Malaysia dan Amerika Syarikat telah menandatangani satu perjanjian perdagangan timbal balas yang membolehkan Malaysia memperoleh akses pasaran yang lebih luas berbanding perjanjian terdahulu.

Melalui perjanjian itu, Malaysia bersetuju memberikan akses pasaran istimewa kepada eksport barangan industri dari AS seperti bahan kimia, jentera dan peralatan elektrik, logam serta kenderaan penumpang.