PUTRAJAYA – Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menzahirkan kebimbangan terhadap tekanan pihak ketiga yang semakin mempengaruhi keputusan klinikal doktor serta menjejaskan integriti profesional dalam kalangan pengamal perubatan.
Perkara itu disuarakan oleh Presidennya, Datuk Dr R Thirunavukarasu dalam pertemuan bersama Jawatankuasa Etika Majlis Perubatan Malaysia (MMC) pada Isnin.
Dalam satu kenyataan, Dr Thirunavukarasu berkata, pihaknya menerima aduan daripada doktor di sektor swasta yang mendakwa keputusan rawatan pesakit sering dipengaruhi syarikat insurans dan organisasi pengurusan penjagaan (MCO).
Menurutnya, campur tangan tersebut menyebabkan doktor terikat dengan garis panduan pihak ketiga yang kadangkala bercanggah dengan penilaian klinikal serta kepentingan pesakit.
“Beberapa doktor melaporkan tuntutan insurans mereka ditolak atau rawatan pesakit terpaksa diubah hanya kerana ia tidak sejajar dengan protokol syarikat insurans,” katanya pada Selasa.
Beliau menegaskan bahawa amalan sedemikian bukan sahaja menjejaskan kepercayaan awam terhadap profesion perubatan, malah boleh menurunkan kualiti penjagaan kesihatan di negara ini.
Jelasnya, keputusan rawatan sepatutnya dibuat berdasarkan pertimbangan profesional doktor, bukannya ditentukan oleh faktor komersial atau dasar keuntungan pihak lain.
“Autonomi klinikal merupakan asas kepada etika perubatan. Apabila ia diganggu, keselamatan dan kesejahteraan pesakit turut terancam,” tambahnya.
Dr Thirunavukarasu turut menggesa MMC mengambil langkah tegas untuk memastikan etika profesional terus dipertahankan dan meneliti semula peranan pihak ketiga dalam sektor penjagaan kesihatan swasta.
“Sudah tiba masanya wujud garis panduan yang jelas mengenai had penglibatan syarikat insurans serta MCO supaya keputusan rawatan kekal berpaksikan profesionalisme perubatan,” tegasnya.
Persatuan itu juga mencadangkan agar dialog antara pihak berkepentingan diadakan bagi mencari penyelesaian seimbang yang melindungi hak pesakit tanpa menjejaskan kebebasan klinikal doktor.
Katanya, isu itu perlu diberi perhatian segera kerana jika dibiarkan, ia boleh mewujudkan suasana kerja yang tidak sihat dan menurunkan motivasi dalam kalangan pengamal perubatan.
MMA menegaskan bahawa integriti dan kebebasan klinikal bukan sekadar soal prinsip, tetapi merupakan faktor utama dalam menentukan keberkesanan sistem kesihatan negara.
“Apabila doktor tidak lagi bebas membuat keputusan berdasarkan pengetahuan dan pengalaman profesional mereka, pesakitlah yang akhirnya menjadi mangsa,” katanya.
Beliau turut berharap hasil pertemuan dengan MMC akan membawa kepada pelaksanaan langkah konkrit bagi melindungi profesion perubatan daripada pengaruh luar yang boleh menjejaskan amanah terhadap pesakit.