RANTAU PANJANG – Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Kelantan akan berunding terlebih dahulu dengan pemilik sebelum melakukan kerja-kerja merobohkan pangkalan haram yang dibina di atas tanah persendirian.
Pengarahnya, Datuk Nik Raisnan Daud berkata, rundingan itu bertujuan membolehkan kedua-dua pihak memperoleh manfaat.
“Ada tanah-tanah yang sedang kita kesan pemiliknya,” katanya dalam sidang akhbar pada Selasa.
Sebelum itu, beliau turun padang meninjau kerja-kerja perobohan di Pangkalan Haram Gergaji di sini.
Turut hadir, Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat.
Menurut beliau, hal ini berlaku kerana terdapat pemilik yang telah meninggal dunia atau menetap di Kuala Lumpur.
Ujarnya, proses itu mungkin mengambil sedikit masa untuk diselesaikan.
Sinar Harian Online melaporkan bahawa aktiviti perobohan kesemua 223 pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok bermula dari Pengkalan Kubor, Tumpat sehingga ke Jeli telah bermula pada Selasa.
Menurut Mohd Yusoff, perobohan tersebut dijangka mengambil masa selama dua bulan dan akan dilakukan secara berperingkat.