KUALA PILAH – Seorang lelaki yang juga pesakit mental dilaporkan hilang sejak tujuh hari lalu selepas gagal dikesan ahli keluarganya sehingga kini.
Kehilangan Shahzrie Abd Rahman, 43, yang tinggal di Kampung Terusan, Juasseh di sini disedari keluarganya selepas mendapati lelaki tersebut tidak pulang ke rumah selepas keluar kira-kira jam 11 malam pada 20 Oktober lalu.
Kakaknya, Suriyati, 47, berkata, kali terakhir adiknya dilihat oleh penduduk kampung di sebuah kedai makan di daerah ini sekitar jam 1 pagi pada hari kehilangannya.
“Saya dimaklumkan yang dia meminta bantuan penduduk di situ kerana motosikalnya tidak boleh dihidupkan.
“Yang membimbangkan saya apabila diberitahu keadaannya ketika itu seperti tidak normal kerana ada ketikanya bercakap sendiri,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Lebih membimbangkan, Suriyati berkata, dia khuatir adiknya itu melakukan perkara yang tidak sepatutnya kerana difahamkan dia sudah tidak mengambil ubat penyakit mental sejak setahun lalu.
Bagaimanapun, ujarnya, sepanjang lebih 20 tahun menghidap penyakit terbabit, adiknya tidak pernah menimbulkan sebarang masalah kepada keluarga dan merupakan anak yang baik.
“Adik saya ini nombor tiga daripada lima beradik dan dia bersama adik bongsu tinggal di kampung menjaga emak yang sudah tua.
“Walaupun adik saya ini pesakit mental tetapi dia anak dan adik yang bertanggungjawab,” katanya yang kini menetap di Sarawak.
Tambahnya, dia tidak pasti punca adiknya menghilangkan diri kerana ibunya memaklumkan sebelum kejadian keadaan Shahzrie baik-baik sahaja.
Suriyati berkata, pada hari kejadian, adik bongsunya memujuk Shahzrie supaya tidak keluar kerana sudah lewat malam, namun tidak diendahkan.
“Ini pertama kali adik saya hilang dan itu yang membuatkan kami sangat risau. Memandangkan saya tinggal di Sarawak, saya minta bantuan Ketua Kampung Terusan untuk membuat laporan polis.
“Sekarang sudah seminggu dia hilang dan kami masih belum mendapat sebarang maklumat mengenainya,” katanya.
Selain itu, katanya, pada hari kejadian, adiknya keluar menunggang motosikal jenis SYM185 serta memakai baju sejuk berwarna oren dan berseluar jeans.
Orang ramai yang mempunyai maklumat atau menemui Shahzrie diminta menghubungi Suriyati di talian 011-1514 2891 atau 012-891 8291.