KPK siasat dakwaan rasuah Projek Kereta Laju Whoosh

Iklan
KPK Indonesia mengesahkan bahawa pihaknya sedang menyiasat dakwaan salah laku berkaitan projek kereta laju Jakarta–Bandung atau Whoosh. - Foto: Agensi

JAKARTA – Suruhanjaya Pembanterasan Rasuah (KPK) Indonesia mengesahkan bahawa pihaknya sedang menyiasat dakwaan salah laku berkaitan projek kereta laju Jakarta–Bandung atau Whoosh.

Menurut KPK, siasatan berkenaan masih berada pada peringkat awal.

Iklan
Iklan

Jurucakap KPK, Budi Prasetyo berkata, pihaknya kini menjalankan siasatan awal terhadap kemungkinan wujud unsur rasuah dalam pelaksanaan projek mega tersebut.

“Ya, benar. Kes ini kini berada di bawah siasatan KPK,” katanya kepada media pada Selasa.

Iklan

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai butiran kes dengan alasan siasatan masih di peringkat awal.

“Oleh kerana siasatan masih dijalankan, kami belum dapat mendedahkan maklumat terperinci mengenai perkembangan atau hasilnya kepada umum,” jelasnya.

Iklan

Budi turut memaklumkan bahawa siasatan itu telah bermula sejak awal tahun 2025 dan masih diteruskan sehingga kini.

“Siasatan ini sedang berjalan dan akan diteruskan mengikut prosedur yang ditetapkan,” katanya.

Sementara itu, pihak Kereta Cepat Indonesia China (KCIC) yang membangunkan projek berkenaan menegaskan bahawa mereka menghormati sepenuhnya proses siasatan yang dijalankan oleh KPK.

“KCIC akan memberikan kerjasama dan menghormati setiap langkah yang diambil oleh KPK,” kata Pengurus Besar Bahagian Setiausaha Korporat KCIC, Eva Chairunisa, ketika dihubungi wartawan.

Menurut beliau, sebarang maklumat lanjut mengenai siasatan itu hanya boleh diperoleh daripada pihak KPK.

Projek Kereta Laju Jakarta–Bandung (Whoosh) mula beroperasi pada 2 Oktober 2023, sekali gus menjadi kereta laju pertama di Indonesia dan Asia Tenggara.

Perancangan pembinaannya bermula sejak 2015 dengan penubuhan syarikat usaha sama PT Kereta Cepat Indonesia China (KCIC). Projek ini turut disenaraikan sebagai sebahagian daripada Projek Strategik Nasional menerusi Peraturan Presiden No. 3 Tahun 2016. - Agensi