BUKIT MERTAJAM – Kegiatan memproses sisa komponen elektronik (e-waste) secara haram di sebuah kilang di Jalan Bukit Tambun, Juru di sini terbongkar selepas diserbu dalam operasi khas Op Hazard pada Isnin.
Operasi yang bermula pada jam 9 pagi itu dijalankan oleh Cawangan Risik Batalion 2, Pasukan Gerakan Am (PGA) dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) serta Bahagian Siasatan Jenayah (BSJD), Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah.
Komander Briged Utara PGA, Senior Asisten Komisioner Shahrum Hashim berkata, serbuan dibuat hasil risikan sejak tiga minggu lalu selepas mendapati kilang tersebut menjalankan aktiviti peleraian dan pemprosesan bahan buangan elektronik tanpa kebenaran.
“Semasa serbuan dijalankan, pasukan menemui pelbagai mesin dan peralatan industri termasuk lima jentera forklift, 10 mesin pencuci sisa buangan, mesin penapis, extruder dan kompresor.
“Turut dirampas kira-kira 454,000 kilogram sisa elektronik, wang tunai RM6,147 dan sebuah treler yang sarat dengan 20,000 kilogram bahan buangan yang telah dilerai,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Selasa.
Shahrum berkata, keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM22.3 juta.
Dalam pada itu, beliau berkata, seramai enam individu berusia antara 22 hingga 55 tahun ditahan bagi membantu siasatan, terdiri daripada seorang lelaki tempatan, dua warga China serta tiga wanita warga Myanmar.
Katanya, semua tangkapan diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah IPD Seberang Perai Tengah, manakala barangan rampasan diserahkan kepada JAS Pulau Pinang untuk siasatan lanjut.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 18(1A) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang memperuntukkan hukuman denda antara RM25,000 hingga RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
“Siasatan turut dijalankan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana kesalahan melibatkan warga asing tanpa dokumen sah,” tambahnya.
Sementara itu, Shahrum menegaskan bahawa Briged Utara PGA akan terus mempergiatkan rondaan serta pengawasan di seluruh negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak bagi mengekang aktiviti pemprosesan e-waste secara haram.
“PGA tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar undang-undang.
“Orang ramai juga digesa menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mengetahui sebarang aktiviti mencurigakan,” katanya.