Dakwa APMM serang Masjid Kg Rusila: Takiyuddin digesa mohon maaf

Iklan
Ahli Parlimen Pulai, Suhaizan Kaiat (dua, kanan) membawa usul agar Takiyuddin dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen jika gagal mohon maaf susulan dakwaan yang dibuat terhadap APMM.

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan digesa memohon maaf di Dewan Rakyat susulan kenyataan yang menuduh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) telah melakukan serangan di Masjid Kg Rusila dan ingin mengulangi Peristiwa Mamali.

Ahli Parlimen Pulai, Suhaizan Kaiat berkata, kenyataan yang dibuat ketika membahasakan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2026 (Belanjawan 2026) itu adalah tidak wajar.

Iklan
Iklan

Sehubungan itu, beliau juga membawa usul agar Takiyuddin dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen sekiranya gagal menarik balik kenyataan dan memohon maaf.

"Kenyataan YB Kota Bharu telah direkodkan dalam Hansard dan menimbulkan kebimbangan kerana dibuat berasaskan maklumat yang tidak dapat disahkan dan tidak tepat.

Iklan

"Pada hemat saya, kenyataan sedemikian adalah tidak wajar dan boleh menjejaskan maruah serta integriti Dewan yang mulia ini. Sehubungan itu, saya telah memohon agar YB Tan Sri Yang di-Pertua menimbangkan untuk memanggil YB Kota Bharu agar menarik balik semua kenyataan berkaitan perkara ini dan memohon maaf kepada Dewan.

"Sekiranya perkara ini tidak ditangani sewajarnya, saya mencadangkan agar perkara ini dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen untuk siasatan lanjut selaras dengan Peraturan 36 (12), Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat," katanya ketika sidang akhbar di Parlimen, pada Isnin.

Iklan

Beliau menegaskan, kenyataan Takiyuddin bercanggah dengan kenyataan Rasmi APMM yang menyebut mereka hanya berhenti untuk melaksanakan ibadat solat Asar, beritiktikaf dan berehat sebentar.

Bahkan katanya, jawatankuasa masjid berkenaan juga telah dimaklumkan lebih awal dan tiada gangguan dilakukan kepada Jemaah.

"la mengandungi implikasi yang sangat serius yang seolah-olah mengaitkan APMM melakukan serangan kepada Masjid dan juga mengakibatkan kecelakaan dan bertindak dengan melampau di dalam masjid tanpa sebarang asas atau bukti kukuh.

"Ini juga akan menggangu-gugat keharmonian dan kesejahteraan Negara," katanya.

Minggu lalu, Takiyuddin membangkitkan kebimbangan berhubung latihan yang didakwa dijalankan oleh APMM di Masjid Rusila, Marang, Terengganu pada 29 September lalu yang disifatkan sebagai mengulangi peristiwa Memali 1985.

Ketua Whip Perikatan Nasional (PN) itu mendakwa, sekumpulan 10 hingga 15 individu menaiki lima kenderaan memasuki Masjid Rusila tanpa kebenaran dengan memakai kasut, memasuki ruang solat wanita dan melakukan penggeledahan, dengan mendakwa mereka adalah polis.

Bagaimanapun, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan, dakwaan tersebut hanya salah faham dan kes berkenaan telah diselesaikan oleh pihak berkuasa.

Jelas beliau, siasatan mendapati, kejadian sebenar hanya melibatkan enam anggota APMM yang singgah menunaikan solat Asar semasa menjalani latihan terancang di kawasan tersebut.