KUALA LUMPUR - Kerajaan disaran mempertimbangkan pemberian insentif RM500 kepada petugas terdiri daripada kakitangan awam termasuk anggota polis dan tentera yang terlibat dalam menjayakan kelangsungan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.
Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (PN-Tanah Merah) berkata, insentif tersebut sebagai bentuk penghargaan kepada petugas terlibat yang komited sejak dua minggu sebelum bermula sidang kemuncak itu di ibu negara.
Menurutnya, pemberian saguhati dan penghargaan kepada semua petugas adalah wajar dan adil.
"Saya dimaklumkan mengenai penglibatan setiap lapisan penjawat awam daripada pelbagai skim dan gred iaitu dari peringkat jawatan pembantu pejabat, kepada jawatan kerani termasuk juga penjawat awam lain yang telah dikerah untuk menjayakan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.
"Anggota tentera sebagai contoh, juga telah mula berkampung di kem-kem transit seluruh Kuala Lumpur yang kebanyakannya ini bertugas sebagai pengemudi kepada delegasi luar negara termasuk membantu pihak polis memberikan kawalan keselamatan dan ketenteraman awam.
"Saya dimaklumkan ada dalam kalangan cikgu sekolah yang bangun seawal jam 3 pagi untuk menyelaraskan sesi raptai kanak-kanak sekolah yang terlibat menjayakan persembahan dalam Sidang Kemuncak ASEAN kali ini," katanya ketika membahasakan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2026 (Belanjawan 2026) di Dewan Rakyat pada Isnin.
Beliau menambah, sekiranya kerajaan bersetuju dengan cadangan tersebut, ia akan memberikan sedikit motivasi dan kegembiraan kepada segenap lapisan perkhidmatan kerajaan.
"Bukan hanya cikgu, tetapi juga anggota tentera, polis, petugas kesihatan, pemandu, pembantu pejabat dan sudah tentu sebahagian besar daripada warga Wisma Putra termasuk pegawai kontrak kerajaan daripada kementerian-kementerian lain yang digembleng dan kini sedang bertungkus-lumus memastikan kejayaan acara sekali gus menjaga nama baik Malaysia selaku Pengerusi ASEAN ke-47.
"Saya telah congak dan kira, sekiranya jumlah petugas adalah seramai 5,000 orang, maka kerajaan hanya perlu membelanjakan sebanyak RM2.5 juta bagi pelaksanaan cadangan pemberian insentif khas yang dicadangkan ini," katanya.
Sehubungan itu, beliau memohon kerajaan mempertimbangkan cadangan tersebut.