Nilai mungkin kecil, namun beri kesan besar

Iklan
Implikasi kes rasuah boleh menggugat keyakinan dan kepercayaan orang ramai terhadap sistem kewangan. Gambar hiasan 123rf. (Gambar kecil: Bibi Sunita)

SHAH ALAM - Implikasi kes rasuah boleh menggugat keyakinan dan kepercayaan orang ramai terhadap sistem kewangan amat besar walaupun sesetengah nilai mungkin dilihat agak kecil.

Pengerusi Pertubuhan Negarawati Tanahair (Negarawati), Bibi Sunita Sakandar Khan berkata, ia memandangkan sektor perbankan merupakan tulang belakang ekonomi negara, justeru kestabilan dan integritinya menjadi kunci kepada keyakinan awam serta pelaburan.

Iklan
Iklan

"Kes sebegini mengikis keyakinan orang ramai terhadap institusi kewangan. Jika seorang pegawai bank boleh didakwa memproses pinjaman tidak layak secara haram, orang ramai mula mempersoalkan kredibiliti keseluruhan proses kelulusan pinjaman.

"Pelanggan lain yang melalui proses permohonan secara sah dan telus mungkin berasa terhina dan tertipu. Mereka yang ditolak pinjaman secara sah mungkin berprasangka bahawa terdapat"cara lain" untuk meluluskan pinjaman, yang merosakkan prinsip"level playing field"," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Iklan

Terdahulu, dua kakitangan bank dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin atas pertuduhan rasuah melibatkan jumlah keseluruhan melebihi RM109,832 sebagai ‘upah’ untuk membantu proses permohonan pembiayaan peribadi pelanggan yang melebihi had kelayakan.

Bibi Sunita menyifatkan kes seumpama itu adalah contoh klasik konflik kepentingan dan penyalahgunaan kuasa.

Iklan

"Pegawai bank diberi kepercayaan dan kuasa untuk menilai kelayakan kredit pelanggan. Dalam kes ini, kuasa itu disalahgunakan untuk kepentingan peribadi (wang rasuah) dan bukannya untuk kepentingan bank dan pemegang sahamnya.

"Kepentingan pegawai tersebut telah bercanggah dengan tugasnya. Sebagai pegawai bank, kepentingannya adalah untuk melindungi aset bank," ujarnya lagi.

Bagaimanapun, menurut beliau, kepentingan peribadi individu terlibat telah mengatasi tanggungjawab profesionalnya hingga mendorongnya untuk meluluskan pinjaman yang berisiko.

Bibi Sunita berpandangan, tindakan mereka menunjukkan rasa tamak dan pemikiran jangka pendek apabila sanggup menggadaikan kerjaya, reputasi dan kebebasan mereka untuk keuntungan cepat.

Menurutnya, tindakan dua kakitangan terbabit memindahkan wang daripada empat akaun berbeza menunjukkan ia bukanlah kes terpencil, tetapi satu skema yang lebih terancang.

"Mereka bekerjasama untuk memintas sistem, yang menjadikan kesalahan ini lebih serius dari sudut moral," tegas beliau.

Menurutnya, tindakan itu bukan sahaja merugikan bank, tetapi juga merosakkan pelanggan yang terlibat

Justeru, beliau berkata, kes rasuah itu merupakan satu amaran penting kerana ia bukan sekadar tentang jumlah wang, tetapi mengenai integriti, amanah, dan kestabilan sistem kewangan.