SHAH ALAM – Sebanyak 79 sekolah dan asrama seluruh Selangor menjadi lokasi pemeriksaan mengejut polis sejak tiga hari lalu dalam usaha memperkukuh disiplin serta mencegah salah laku pelajar.
Timbalan Ketua Polis Selangor, Deputi Komisioner Mohd Zaini Abu Hassan berkata, pemeriksaan itu dilakukan secara rawak di sekolah harian dan berasrama bagi memastikan persekitaran pembelajaran kekal selamat serta bebas daripada gejala tidak sihat.
Beliau berkata, setakat ini tiada isu besar dikesan namun langkah tersebut menunjukkan komitmen polis untuk mencegah sebelum berlaku sebarang insiden yang boleh menjejaskan keselamatan pelajar dan sekolah.
"Menjaga keselamatan sekolah bukan hanya tanggungjawab guru semata-mata, tetapi tanggungjawab bersama seluruh masyarakat.
"Kita mahu anak-anak berasa selamat, yakin dan dihormati agar mereka dapat menumpukan perhatian kepada pelajaran serta membina masa depan yang baik," katanya.
Beliau berkata demikian dalam perhimpunan pagi bersama guru dan pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Shah Alam, Bukit Jelutong pada Isnin.
Katanya, usaha itu turut diperkukuh dengan rondaan berkala oleh Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dan Kenderaan Peronda (MPV) di kawasan sekolah selain sesi libat urus antara Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS), pentadbir, guru, ibu bapa serta pelajar.
"Pihak sekolah juga disaran memperketat prosedur keselamatan dalaman manakala ibu bapa perlu memainkan peranan lebih aktif dalam memantau tingkah laku dan penggunaan gajet anak masing-masing.
"Pelajar juga digalakkan menggunakan aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) untuk menyalurkan maklumat terus kepada polis sekiranya mengesan sebarang salah laku di sekolah.
Tambah beliau, semua pihak termasuk komuniti setempat perlu kekal proaktif dalam membantu polis memastikan kebajikan dan keselamatan pelajar sentiasa terjamin.
"Pendekatan pencegahan hanya akan berjaya apabila masyarakat turut memainkan peranan aktif," katanya.