'Arwah sangat gembira saya mengandung lagi’ - Isteri Naib Ketua Dewan Pemuda Pas Johor reda pemergian suami

Iklan
Allahyarham Muhammad Arif (kiri) bersama isteri dan anak-anak.

JOHOR BAHRU - Kegembiraan menanti kelahiran anak keempat bertukar pilu buat isteri Naib Ketua Dewan Pemuda Pas Negeri Johor, Allahyarham Muhammad Ariff Haron apabila suaminya maut dalam kemalangan di Kilometer 48.1 Lebuhraya Utara–Selatan arah utara di sini pada Sabtu.

Isteri arwah, Shuhada Alam Shah, 34, yang kini hamil dua bulan berkata, suaminya begitu teruja apabila mengetahui dirinya mengandung dan sering menyebut mengenai kehadiran cahaya mata baharu itu.

Iklan
Iklan

“Arwah sangat gembira apabila tahu saya mengandung lagi. Setiap kali keluar bekerja atau ke program, arwah akan pesan supaya saya menjaga diri dan anak-anak,” katanya.

Menurutnya, arwah merupakan Pengetua Sekolah Menengah Integrasi Teras Islam (SMITI) Johor serta mutawwif umrah ialah seorang suami dan bapa penyayang yang sentiasa mendahulukan keluarga.

Iklan

“Beberapa hari sebelum ini, arwah ada minta didoakan agar diberikan kesihatan kerana berasa letih. Namun, arwah tetap kuatkan diri untuk melakukan segala kebaikan selagi hayatnya ada.

“Setakat ini, sahabat arwah yang perasan tanda-tanda sebelum pemergiannya. Mereka memaklumkan arwah ada memohon sahabat-sahabatnya untuk mendoakannya dan memeluk mereka erat sebelum pulang ke rumah,” katanya.

Iklan

Allahyarham Muhammad Ariff, 33, meninggalkan isteri dan tiga anak iaitu Siti Maryam, 5; Muhammad Zaid, 4; dan Muhammad Suhail, 2 tahun.

Jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Tiram pada Sabtu.

Sementara itu, Ketua Dewan Pemuda Pas Johor, Mohd Ridhwan Salamun berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada jam 11.54 pagi Sabtu.

Katanya, arwah menunggang motosikal dan terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta ketika dalam perjalanan ke program Permukiman Pemuda Pas Negeri Johor di Pagoh.