TOKYO – Di tengah hiruk-pikuk kota metropolitan Tokyo, kelibat seorang lelaki berusia 49 tahun yang mengibarkan bendera Palestin sambil melaungkan 'Bebas, Bebas Palestin' sudah menjadi pemandangan biasa bagi penduduk tempatan.
Lelaki itu ialah Yusuke Furusawa, seorang tukang kayu dan juga sebagai pembuat set untuk rancangan televisyen telah menghabiskan lebih 700 hari berturut-turut berdiri sendirian di jalan-jalan utama Tokyo sebagai tanda protes terhadap perang Israel di Gaza.
Furusawa mula melancarkan protes solonya pada Oktober 2023, selepas pulih daripada jangkitan Covid-19. Dalam tempoh pemulihan, beliau banyak menonton video mengenai kesengsaraan penduduk Gaza dan merasakan tanggungjawab moral untuk bersuara.
“Saya tidak boleh berdiam diri.Jika kita mempunyai hak untuk hidup dengan selamat dan bercakap bebas di Jepun, kita juga mesti mempertahankan hak itu untuk orang lain di dunia,” katanya dalam satu wawancara bersama Mainichi Japan.
Pada awalnya, tindakan Furusawa mengundang pelbagai reaksi ada yang mengejek, ada yang menyuruhnya berhenti. Namun beliau tidak patah semangat.
Bagi melindungi diri dan menyebarkan mesejnya, beliau mula merakam tindakannya dan memuat naik ke media sosial.
Langkah itu mengubah segalanya. Kini, akaun Instagram miliknya mempunyai lebih 200,000 pengikut dari seluruh dunia.
Ramai pelancong asing ke Jepun mencari beliau di jalanan dan mengucapkan terima kasih atas keberaniannya. Ada yang bertanya melalui mesej. 'Kamu di mana hari ini?'
Walaupun menerima pelbagai hadiah seperti keffiyeh dan beg berlogo bendera Palestin daripada penyokong media sosial, Furusawa tidak melihat dirinya sebagai wira.
Bagi beliau, tindakannya hanyalah tanggungjawab moral terhadap kemanusiaan.
“Sesetengah orang kata saya bising hanyalah perbuatan yang sia-sia.
“Tetapi bagi saya, bersuara demi keadilan bukan tentang makna atau hasil ia soal melakukan perkara yang betul," katanya.
Hari demi hari, Furusawa terus berdiri di hadapan stesen besar Tokyo tidak kira panas atau hujan. Bagi kebanyakan warga Jepun, pemandangan itu kini bukan lagi luar biasa.
Beliau telah menjadi simbol kecil tetapi lantang tentang hak asasi manusia dan keberanian moral di tengah masyarakat yang terkenal dengan budaya diam dan tidak konfrontasi.
Aksi konsisten Furusawa turut memperlihatkan perubahan kecil dalam masyarakat Jepun sendiri. Sejak perang Gaza berlarutan, semakin ramai warga muda mula turun ke jalanan menyertai protes aman menuntut gencatan senjata satu fenomena yang jarang berlaku di negara itu.
“Saya hanya satu suara kecil di antara jutaan manusia.Tetapi jika setiap orang bersuara, dunia mungkin akan berubah," katanya.
Selama lebih 24 bulan, Furusawa turun ke jalan setiap hari menyeru dihentikan serangan ke atas Gaza dan menentang budaya diam serta kepatuhan sosial yang menurutnya terlalu mengakar dalam masyarakat Jepun.
“Saya mula berprotes kerana rasa marah dan tidak berdaya.
“Dalam masyarakat Jepun, wujud suasana yang membuatkan orang segan bersuara tentang isu politik dan antarabangsa.
Saya ingin menentangnya," katanya kepada The National.
Walaupun sering menerima kritikan kerana dianggap bising atau mengganggu ketenteraman awam, semangatnya tidak pernah luntur.
“Daripada rakyat Gaza, saya belajar tentang kekuatan, keteguhan prinsip dan nilai kemanusiaan sebenar.
“Sebab itu, walaupun seorang diri, saya akan terus bersuara," ujar beliau.
Furusawa tidak datang daripada keluarga politik atau aktivis.Hidupnya sederhana bekerja pada waktu siang, kemudian turun ke jalan pada waktu malam membawa plakad solidariti dengan Gaza. -Agensi