DALAM sejarah panjang perjuangan rakyat Malaysia menyokong Palestin, program solidariti yang menghimpunkan puluhan ribu peserta di Kelantan baru-baru ini wajar diiktiraf sebagai antara yang terbesar dan paling bersemangat.
Lebih 20,000 peserta berhimpun di darat dan di Sungai Kelantan, membawa mesej kemanusiaan sejagat agar genosid terhadap rakyat Gaza segera dihentikan.
Namun, di sebalik gelombang semangat itu, tercetus detik kontroversi apabila sebuah bot dalam acara berkenaan mengibarkan bendera Israel sebagai sebahagian daripada gimik lakonan semula serangan tentera rejim Zionis terhadap misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF).
Walaupun pihak penganjur telah menjelaskan bahawa kibaran bendera tersebut hanyalah simbolik dan tidak membawa maksud lain, tindakan itu tetap menimbulkan rasa tidak senang dalam kalangan ramai peserta serta masyarakat umum.
Bagi sebahagian besar rakyat Malaysia yang amat sensitif terhadap isu Palestin, apa juga bentuk paparan lambang rejim Zionis dianggap tidak wajar, apatah lagi dalam program yang bertujuan menunjukkan solidariti terhadap penderitaan rakyat Gaza.
Insiden itu akhirnya mencetus perdebatan hangat di media sosial, dengan ramai pihak menyifatkannya sebagai gimik yang tidak sensitif dan boleh mencalarkan mesej utama penganjuran tersebut.
Saya sendiri berada di lokasi ketika kejadian. Sebagai petugas media dan peserta solidariti, saya melihat bendera Israel itu masih berkibar selepas gimik tamat. Ketika itu rasa tidak selesa sukar dibendung.
Dari atas bot yang bersebelahan, saya melaungkan kepada artis Kelantan, Fendi Kenali yang berada di pentas meminta agar bendera itu segera diturunkan dan kemudian lima bendera tersebut diturunkan.
Penganjur menjelaskan bahawa bendera tersebut memang akan diturunkan sebaik gimik berakhir, namun mungkin saya lebih dahulu tidak dapat menahan dan meminta bendera itu diturunkan dengan segera.
Pada hemat saya, bendera Israel sepatutnya tidak dikibarkan langsung. Kita faham objektif lakonan tersebut untuk menggambarkan kekejaman rejim Zionis tetapi sensitiviti terhadap simbol kebangsaan Israel, lambang kekejaman dan penindasan terhadap rakyat Palestin seharusnya cukup difahami oleh semua pihak, lebih-lebih lagi dalam acara bersifat solidariti.
Bendera Zionis tidak layak untuk berkibar walaupun sesaat di bumi Malaysia. Jika mahu menggambarkan pihak musuh, memadai sekadar kain putih bertulis Israel atau simbol umum yang tidak membawa lambang sebenar.
Perlu diingat, Akta Lambang Kebangsaan (Kawalan Mempamer) 1949 jelas menyatakan sebarang paparan lambang kebangsaan tanpa kelulusan ialah satu kesalahan.
Sebagai wartawan, saya juga membuat keputusan untuk tidak menyiarkan foto bendera tersebut dalam laporan berita kami. Bukan soal menyorok fakta tetapi ia tanggungjawab moral dan sensitiviti umat.
Dalam konteks solidariti Palestin, apa-apa sahaja yang berisiko menyinggung perasaan masyarakat atau dilihat memberi ruang kepada simbol Zionis perlu dielakkan sama sekali.
Kita tidak menafikan semangat murni penganjur dan peserta yang berkorban masa, tenaga mahupun sumber untuk menjayakan program solidariti tersebut tetapi dalam isu berkait penderitaan umat dan kekejaman yang sedang berlaku di Gaza, setiap perincian simbolik membawa makna sangat besar.
Justeru, langkah terbaik ialah mengakui kekhilafan dan memohon maaf kepada masyarakat seperti yang telah dilakukan oleh pihak penganjur.
Jadikan peristiwa tersebut sebagai pengajaran agar lebih berhati-hati mengatur sebarang persembahan, gimik atau aktiviti berkait Palestin.
Kita semua bersaudara dalam perjuangan ini tetapi bendera Zionis tidak akan sesekali menjadi simbol yang boleh dikompromi walau atas nama gimik sekalipun.
* Adila Sharinni Wahid ialah wartawan Sinar Harian Kelantan