TIDAK dinafikan setiap individu mempunyai pasukan bola sepak yang diminati, namun menjadi penyokong fanatik bukan bermaksud perlu melakukan tindakan provokatif atau melampaui batas.
Sebaliknya, sokongan perlu dizahirkan dengan cara yang matang dan bertanggungjawab.
Perbuatan provokatif, sama ada terhadap penyokong lawan, pihak keselamatan mahupun orang awam, bukan sahaja mengundang risiko keselamatan, malah mencemarkan imej bola sepak tempatan.
Ia memberi gambaran seolah-olah budaya sukan tidak lagi didasari semangat kesukanan.
Jika diperhatikan, insiden kekecohan lazimnya bermula dalam kalangan penyokong, khususnya apabila keputusan perlawanan tidak memihak kepada pasukan yang disokong.
Sepatutnya, penyokong yang benar-benar menghargai pasukan akan berusaha menjaga nama baik kelab dan mereka perlu sedar bahawa setiap tingkah laku di tempat awam turut membawa imej pasukan yang disokong.
Selain itu, tindakan tidak bertanggungjawab segelintir penyokong boleh memberi kesan kepada ribuan penyokong lain serta orang awam.
Misalnya, tindakan sekumpulan penyokong sebuah kelab bola sepak berarak sambil membawa bendera pasukan dari arah bandar raya menuju ke Jambatan Angkat sebelum menyalakan suar ketika berada di tengah jambatan tersebut.
Bukankah tindakan sedemikian menjejaskan ketenteraman awam dan menimbulkan kegusaran di sepanjang laluan yang terlibat?
Bahkan, kejadian itu bukan kali pertama berlaku di negara ini, sebaliknya pernah berulang dalam beberapa perlawanan berprofil tinggi sebelum ini sehingga menimbulkan kebimbangan berterusan terhadap tahap disiplin segelintir penyokong bola sepak.
Bola sepak sepatutnya menyatukan, bukan menimbulkan rasa takut. Oleh itu, budaya sebegini perlu dihentikan, terutama dalam kalangan generasi muda.
Mereka perlu didedahkan bahawa semangat kesukanan menuntut rasa hormat terhadap lawan dan orang sekeliling.