[VIDEO] Cadang jawatankuasa khas tangani isu beting pasir di muara Sungai Muda

Iklan

SUNGAI PETANI - Satu jawatankuasa khas melibatkan Kerajaan Persekutuan dan negeri dicadang diwujudkan bagi mencari penyelesaian terhadap masalah beting pasir di muara Sungai Muda sehingga menjejaskan aktiviti nelayan tempatan.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA), Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, penubuhan jawatankuasa itu penting kerana isu berkenaan melibatkan bidang kuasa pelbagai pihak termasuk kerajaan negeri Kedah dan Pulau Pinang kerana terletak di sempadan selain Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Iklan
Iklan

“Saya fikir satu jawatankuasa di peringkat Persekutuan dan negeri mesti diwujudkan. Kalau sudah ada, laksanakanlah, kalau belum ada, kemukakan kertas cadangan kepada kerajaan kerana ini melibatkan sungai yang terletak bawah bidang kuasa kerajaan negeri, manakala JPS pula agensi bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau muara Sungai Muda ketika hadir ke Program Desa Keda Tepi Sungai di Kota Kuala Muda di sini pada Ahad.

Iklan

Menurut Mahdzir, timbunan pasir di muara sungai berkenaan menyebabkan nelayan sukar keluar menangkap ikan, terutama ketika air cetek sehingga ada yang terpaksa menolak bot untuk melepasi beting.

"Masalah ini bukan baru, sudah lama berlarutan dan mesti diselesaikan segera,” jelas beliau.

Iklan

Dalam masa sama, Mahdzir menegaskan, isu tersebut tidak wajar dipolitikkan kerana ia melibatkan kepentingan komuniti nelayan, termasuk penduduk Desa Keda Tepi Sungai yang kebanyakan bergantung hidup kepada sumber laut di kawasan berkenaan.

“Ini bukan masalah parti politik, ini masalah rakyat. Semua pihak perlu duduk semeja, kerajaan negeri Kedah, Pulau Pinang dan kerajaan pusat untuk cari jalan penyelesaian serta peruntukan yang sesuai,” katanya.

Beliau menambah, keadaan beting pasir juga berpotensi sebagai tumpuan pelancongan jika dibangunkan, ditambah pula sejarah bencana yang berlaku termasuk kewujudan Galeri dan Tugu Tsunami yang berada tidak jauh dari kawasan berkenaan boleh dijadikan tarikan.