Dendam isu tanah pusaka, video tular punca kes tetak sepupu hingga maut - Polis

Iklan
Sepasukan pegawai dari IPD Tumpat bergegas ke lokasi dan menemui mangsa, Mohd Suhairi bapa kepada dua orang anak yang merupakan pemandu jengkaut dalam keadaan tidak sedarkan diri di hadapan rumahnya. Foto: PDRM

KOTA BHARU – Dendam lama berkaitan isu tanah pusaka dan video tular anak suspek yang disunting dalam keadaan tidak senonoh dipercayai menjadi punca seorang lelaki maut ditetak dalam kejadian di Kampung Kok Bedullah, Tumpat pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Mohd Khairi Shafie berkata, pihaknya menerima makluman mengenai kejadian itu pada jam 11.20 malam melalui Pusat Kawalan Kontinjen (CCC) Kelantan serta panggilan MERS999 yang dibuat oleh orang awam.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, sepasukan pegawai dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat bergegas ke lokasi dan menemui mangsa, Mohd Suhairi Hasim, 46, bapa kepada dua orang anak yang merupakan pemandu jengkaut dalam keadaan tidak sedarkan diri di hadapan rumahnya.

Dendam lama berkaitan isu tanah pusaka dan video tular anak suspek yang disunting dalam keadaan tidak senonoh dipercayai menjadi punca seorang lelaki maut ditetak dalam kejadian di Kampung Kok Bedullah, Tumpat pada Jumaat. Foto: PDRM

Iklan

“Pemeriksaan awal mendapati mangsa sudah meninggal dunia dengan kesan kecederaan parah pada bahagian kepala, kaki kanan serta tangan kiri yang putus dipercayai akibat ditetak menggunakan parang panjang.

"Hasil risikan dan tindakan pantas pasukan polis di lokasi kejadian berjaya menahan suspek, seorang lelaki yang berusia 45 tahun di rumahnya tidak jauh dari tempat kejadian," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Iklan

Ujar beliau, turut dirampas sebilah parang panjang yang dipercayai digunakan lelaki terbabit semasa kejadian.

Mohd Khairi memberitahu, suspek kini direman selama tujuh hari bermula Sabtu bagi membantu siasatan.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan supaya menghubungi talian 09-7257222 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.

“Orang ramai juga diingatkan supaya tidak menyebarkan sebarang maklumat atau video yang tidak sahih berkaitan kes ini bagi mengelak gangguan kepada siasatan,” katanya.

Sinar Harian Online melaporkan seorang bapa tunggal maut selepas dipercayai ditetak bertubi-tubi di beberapa bahagian sehingga menyebabkan tangan kiri dan kaki kanan putus dalam kejadian di Kampung Kok Bedollah pada Jumaat.

Mohd Suhairi ditemukan tidak sedarkan diri kira-kira jam 11 malam oleh ibunya, Wan Salma Wan Said, 68.