Hazlina Datuk Bandar wanita pertama di Johor

Iklan
HAZLINA

PASIR GUDANG – Datin Hazlina Jalil melakar sejarah tersendiri apabila dilantik sebagai Datuk Bandar wanita pertama Pasir Gudang, sekali gus menjadi Datuk Bandar wanita pertama di Johor.

Pelantikan rasmi beliau berkuat kuasa 17 Oktober lalu bagi menggantikan Datuk Mustaffa Kamal Shamsudin yang kini dilantik sebagai Pengarah Urusan Kolej Universiti Islam Johor Sultan Ibrahim (KUIJSI).

Iklan
Iklan

Hazlina yang mempunyai pengalaman lebih 25 tahun dalam Perkhidmatan Tadbir Negeri Johor (JCS) pernah memegang pelbagai jawatan penting termasuk Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pengerang, Pegawai Daerah Kota Tinggi dan Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora).

Menurutnya, pelantikan itu satu amanah besar yang akan dipikul dengan penuh tanggungjawab bagi meneruskan kecemerlangan Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) sebagai pihak berkuasa tempatan (PBT) yang proaktif, berdaya saing dan berpaksikan rakyat.

Iklan

“Saya bersyukur dengan pelantikan ini dan akan memastikan MBPG kekal cemerlang selain memperkukuh peranan kami sebagai PBT yang dekat dengan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian JTDC Mega Kerjaya My Future Jobs X PIS X MBPG di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Pasir Gudang, di sini pada Sabtu.

Iklan

Majlis berkenaan disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Aznan Tamin.

Hazlina berkata, tumpuan utama MBPG ketika ini adalah memperkukuh prasarana sokongan, kemudahan logistik, pelaburan hijau serta pembangunan bandar pintar dan rendah karbon bagi menyokong pertumbuhan di bawah Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

“Pelaksanaan JS-SEZ bukan hanya tertumpu kepada aspek ekonomi semata-mata, tetapi turut memberi impak sosial dan alam sekitar yang signifikan.

“MBPG komited mengekalkan keseimbangan antara kemajuan ekonomi dan kelestarian selaras dengan prinsip Pasir Gudang Perkasa 2030 yang menekankan tiga teras utama iaitu Bersih, Lestari dan Berdaya Huni,” katanya.

Beliau turut menekankan kepentingan memperkukuh kerjasama antara kerajaan, sektor swasta, institusi pengajian tinggi dan masyarakat tempatan dalam memperluas peluang pekerjaan serta pembangunan teknologi hijau bagi menjadikan Pasir Gudang sebagai model bandar raya industri yang progresif dan lestari di rantau ini.

Mengulas mengenai aduan penduduk yang tular di media sosial selepas pelantikannya Hazlina berkata, pihaknya akan meneliti semua isu yang dibangkitkan bagi memastikan tindakan penambahbaikan dapat dilaksanakan segera.