TUMPAT – “Tiba-tiba saya terdengar teriakan kuat daripada Mohd Suhairi yang menyebut ‘ALLAH... ALLAH...’ lebih 20 kali.”
Itu detik memilukan yang masih terngiang-ngiang di telinga Wan Salma Wan Said, 68, apabila menyaksikan sendiri anak lelakinya, Mohd Suhairi Hasim, 46, maut ditetak bertubi-tubi dalam kejadian di Kampung Kok Bedollah, di sini, malam Jumaat lalu.
Mangsa yang bekerja sebagai pemandu jengkaut dan merupakan bapa kepada dua anak itu ditemukan berlumuran darah kira-kira jam 11 malam oleh ibunya sendiri.
Menurut Wan Salma, ketika kejadian, beliau berada di dalam rumah dan sedang bersiap untuk tidur sebelum terdengar jeritan kuat anaknya memanggil nama ALLAH berulang kali.
“Saya terus bangun menuju ke tingkap dan bertanya, ‘Kamu bergaduh dengan siapa pula, Hairi?’ tetapi tiada jawapan.
“Saya kemudian keluar ke tempat dia mencuci jengkaut kerana bimbang sesuatu berlaku,” katanya ketika ditemui di rumahnya pada Sabtu.
Wan Salma berkata, disebabkan suasana gelap dan penglihatannya yang kabur, beliau tersilap menyangka seorang lelaki berhampiran jengkaut itu ialah anaknya.
Namun, lelaki berkenaan yang juga anak saudaranya tiba-tiba bersuara.
“‘Aku buat anak kamu begini kerana dia telah tularkan anak aku,’” katanya sebelum berlalu sambil membawa senjata yang menyerupai parang.
“Saya tergamam dan terus melihat anak saya sudah terbaring tidak bernyawa, dengan darah memenuhi badannya,” ujarnya sebak.
Hasil pemeriksaan mendapati, Mohd Suhairi ditetak di beberapa bahagian badan termasuk pipi, bahu dan belakang, manakala tangan kiri serta kaki kanannya putus.
Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Tumpat untuk bedah siasat sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Mukim Kok Bedollah.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Mohd Khairi Shafie, mengesahkan pihaknya telah menahan suspek berusia 40-an yang juga sepupu mangsa.
“Suspek telah dibawa ke Mahkamah Pasir Mas untuk permohonan tahanan reman bagi membantu siasatan,” katanya.