Jualan Rahmah Madani rekod lebih 21 juta transaksi, nilai cecah RM800 juta

Iklan
Fuziah (tiga dari kanan) menunjukkan Gula Rahmah yang dilancarkan pada Program Jelajah Karnival KPDN 2025 Zon Timur di Dataran Sayangi Kuantan di Tanah Putih, Kuantan pada Sabtu. Foto Sinar Harian

KUANTAN – Lebih 21 juta transaksi direkodkan menerusi Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) di seluruh negara dengan nilai jualan mencecah RM800 juta setakat Jumaat.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, pencapaian itu menunjukkan keberkesanan inisiatif yang diperkenalkan kerajaan bagi membantu rakyat menghadapi tekanan kos sara hidup.

Iklan
Iklan

“Program ini (Jualan Rahmah Madani) telah memberi manfaat kepada lebih 21 juta rakyat di seluruh negara dengan nilai jualan keseluruhan RM800 juta.

“Bagi negeri Pahang sahaja, sebanyak 1.15 juta transaksi direkodkan sehingga 24 Oktober dengan nilai jualan berjumlah RM41.9 juta,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Program Jelajah Karnival KPDN 2025 Zon Timur di Dataran Sayangi Kuantan, Tanah Putih di sini pada Sabtu.

Pada karnival tersebut, Fuziah turut melancarkan gula berjenama Gula Rahmah yang akan dijual di setiap PJRM di seluruh negara pada harga RM2.70 sekilogram.

Iklan

Fuziah memberitahu, PJRM turut memberi peluang kepada peniaga kecil dan usahawan tempatan untuk terlibat sama dalam pelaksanaannya.

“Melalui kempen Beli Barang Malaysia (BBM), seramai 53 usahawan tempatan terlibat dan membuka gerai jualan di sini di bawah program Jom Lokal.

“Kita juga mengadakan Karnival Kerjaya serta pameran daripada pelbagai agensi bagi memberi manfaat kepada seluruh warga Pantai Timur, khususnya di Pahang,” ujarnya.

Dalam pada itu, Fuziah berkata, KPDN telah memberi kelonggaran tambahan kuota simpanan stok barang kawalan sebanyak 30 peratus kepada pemborong berlesen sebagai persediaan menghadapi musim banjir.

“Kita telah menetapkan dasar supaya pemborong boleh menambah kuota simpanan stok mereka sebanyak 30 peratus.

“Langkah ini membolehkan mereka menyimpan lebih banyak barangan kawalan supaya bekalan tidak terputus sekiranya berlaku banjir dan laluan utama terjejas,” tambah beliau.

Menurut Fuziah, KPDN juga menyediakan stok khas barangan kawalan dan bekerjasama dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) serta Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bagi memastikan bekalan keperluan asas di kawasan terjejas sentiasa mencukupi.

“Pemantauan juga akan dipertingkatkan bagi memastikan harga barangan kekal terkawal sepanjang musim banjir.

“Kita pastikan harga di kawasan yang dilanda banjir dikawal dan keperluan asas seperti bahan memasak serta makanan kering sentiasa mencukupi,” jelasnya.

Mengulas lanjut mengenai produk Gula Rahmah, Fuziah berkata, Gula Rahmah itu dikeluarkan oleh syarikat tempatan dan dijual di Jualan Rahmah Madani tanpa menerima sebarang insentif kerajaan.

“Setiap bulan kerajaan membelanjakan sebanyak RM42 juta bagi memastikan gula dijual pada harga RM2.85 di pasaran, namun bagi Gula Rahmah ini, ia dijual lebih murah tanpa subsidi,” katanya.