KETUA jurulatih Melaka FC, K Devan menegaskan pasukannya tidak sepatutnya kalah 1-2 kepada Kelantan The Real Warriors (Kelantan TRW) pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu pada Jumaat.
Beliau berkata, barisan pemain telah memberikan aksi terbaik meskipun lawan dibarisi oleh lima tonggak import pada perlawanan itu.
"Kita tidak ada penyerang import malam ini (Jumaat), namum memiliki tiga peluang untuk menjaringkan gol," katanya.
Menurut beliau, selepas 15 minit, Melaka FC berjaya menyerap tekanan sehinggalah menjaringkan gol sendiri.
Ujarnya, walaupun menjaringkan gol sendiri, pemain Melaka FC dapat menumpukan balik perhatian dan kita tamatkan babak pertama dengan baik.
Sementara itu, Akmal Rizal Ahmad Rakhli gembira dengan kejayaan menewaskan Melaka FC.
Kata beliau, barisan pemainnya telah memberikan persembahan terbaik sepanjang perlawanan tersebut meskipun terpaksa beraksi di atas permukaan padang basah.
Akmal berkata, beliau mahu pemain meneruskan kecemerlangan seperti melawan Sabah pada suku akhir pertama Piala FA dan Liga Super menentang Melaka pada Jumaat untuk aksi timbal balik menentang Sabah di Stadium Likas, 29 Oktober ini.
Kemenangan itu melonjak Kelantan ke tangga kelima Liga Super.