KUALA PILAH - Negeri Sembilan mewajibkan penggunaan khidmat malim gunung bagi pendaki di dua laluan pendakian utama, iaitu Trans Naning Trail di Tampin dan Gunung Besar Hantu di Jelebu.
Pengarah Perhutanan Negeri Sembilan, Hamidi Abd Halim berkata, langkah keselamatan itu mula berkuat kuasa tahun ini bagi memastikan aktiviti pendakian dilakukan dengan lebih terkawal dan selamat.
Menurutnya, sejak Ogos lalu, seramai 77 orang malim gunung telah berdaftar bagi memastikan pengiring pendaki terdiri daripada individu berpengalaman serta mengikuti kursus latihan yang ditetapkan.
“Malim gunung mengetahui tanggungjawab serta tugas mereka, manakala peranan jabatan ialah menjalankan pengawasan dan pemantauan terhadap mereka.
“Lesen mereka perlu diperbaharui setiap tahun. Dua laluan itu diwajibkan menggunakan khidmat malim gunung kerana treknya lebih mencabar berbanding laluan lain.
“Bagi trek lain, penggunaan malim gunung digalakkan, namun bagi pendaki antarabangsa ia adalah wajib,” katanya selepas menyempurnakan pelepasan peserta Angsi Forest Challenge (AFC) 2025 di Taman Eko Rimba Ulu Bendul, di sini, pada Sabtu.
Beliau berkata demikian ketika mengulas langkah keselamatan yang diambil susulan kejadian seorang pendaki meninggal dunia dalam tragedi di Gunung Liang baru-baru ini.
Hamidi menjelaskan bahawa setakat ini, tiada lesen malim gunung ditarik balik dan tiada kes pelanggaran peraturan aktiviti pendakian dilaporkan di negeri itu.
Katanya, pelaksanaan pendaftaran malim gunung secara rasmi ini dapat meningkatkan aspek pemantauan dan penguatkuasaan terhadap aktiviti pendakian, selain membantu memperkukuh keselamatan pendaki.
Selain itu, beliau memaklumkan bahawa tindakan penambahbaikan trek pendakian turut dilaksanakan sebagai langkah keselamatan tambahan.
“Setakat ini, terdapat 14 trek pendakian di Negeri Sembilan. Jumlah itu dihadkan bagi mengelakkan kerosakan alam sekitar serta memudahkan kawalan,” katanya.
Dalam pada itu, Hamidi berkata AFC kini memasuki tahun ketiga penganjurannya sejak diperkenalkan pada 2022, dengan penyertaan hampir 900 peserta termasuk peserta antarabangsa dari 12 negara, antaranya Singapura, Jepun, United Kingdom, Indonesia dan China.
Acara itu mempertandingkan empat kategori jarak iaitu 50km, 25km, 13km dan 6km, selain memperkenalkan kategori baharu Kids Trail (1.3km) tahun ini.
Beliau berharap penganjuran acara berkenaan dapat memperkenalkan Taman Eko Rimba Ulu Bendul kepada pengunjung dalam dan luar negara, sekali gus menyemarakkan sambutan Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026.
AFC 2025 berlangsung selama dua hari dengan pelepasan peserta kategori 50km dan 25km pada Sabtu, manakala kategori 13km, 6km dan Kids Trail (1.3km) berlangsung pada Ahad.
Program itu mendapat kerjasama Kerajaan Negeri Sembilan, Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan, Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan, Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Pilah, Majlis Daerah Kuala Pilah, Jabatan Kerja Raya Negeri Sembilan, PDRM, Bomba, APM dan agensi-agensi lain.