Bank Islam umum peletakan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan

Iklan
Mohd Muazzam

SHAH ALAM - Lembaga Pengarah Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) mengumumkan peletakan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (GCEO), Datuk Mohd Muazzam Mohamed berkuat kuasa 7 Januari 2026.

Dalam mengumumkan keputusan itu, Mohd Muazzam berkata, pengalaman berkhidmat di Bank Islam merupakan satu penghormatan besar baginya.

Iklan
Iklan

“Selepas tujuh tahun sebagai GCEO, saya percaya ini adalah masa yang sesuai untuk berundur dan memberi tumpuan kepada matlamat peribadi.

“Saya amat berterima kasih atas kepercayaan dan sokongan lembaga pengarah, pengurusan dan semua rakan kerja di Bank Islam,” katanya dalam satu kenyataan media.

Iklan

Sementara itu, Pengerusi Bank Islam, Tan Sri Dr Ismail Bakar menyifatkan Mohd Muazzam telah memainkan peranan penting dalam membentuk Bank Islam menjadi sebuah institusi yang kukuh dan berdaya tahan seperti yang dicapai pada ketika ini.

“Mewakili lembaga pengarah, kami merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas khidmat dan mendoakan kejayaan dalam segala usaha masa hadapan beliau,” ujarnya.

Iklan

Mohd Muazzam mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan selepas lebih 10 tahun berkhidmat dengan penuh dedikasi, termasuk tujuh tahun sebagai GCEO.

Hari terakhir perkhidmatan beliau di Bank Islam ialah pada 12 Disember nanti.

Berikutan itu, Ketua Pegawai Perniagaan Kumpulan (Perbankan Runcit) Bank Islam, Mizan Masram akan memainkan peranan sebagai pegawai yang bertanggungjawab bagi memastikan peralihan lancar mulai 13 Disember nanti.

Mohd Muazzam akan menjalani tempoh notis dan terus memberikan sokongan kepada Mizan bagi memastikan kelancaran proses peralihan tersebut.

Sejak memegang jawatan sebagai GCEO pada tahun 2018, Mohd Muazzam telah menerajui Bank Islam melalui fasa transformasi digital dan pertumbuhan yang penting dengan merombak semula perkhidmatan menyeluruh dengan mengintegrasikan teknologi bersama prinsip kewangan Islam.

Beliau memimpin strategi transformasi digital kumpulan, termasuk pelaksanaan inisiatif pembayaran elektronik dan pelancaran Be U, aplikasi perbankan mudah alih berasaskan awan yang pertama di negara ini.

Transformasi digital tersebut telah memperkukuh daya tahan perniagaan, sekali gus mengubah cara Bank Islam berkhidmat kepada pelanggan.

Selain itu, Mohd Muazzam turut memainkan peranan penting dalam hala tuju strategik, pengurusan lembaran imbangan dan modal serta kedudukan pasaran kumpulan.

Beliau mengetuai penstrukturan semula kumpulan yang besar pada Oktober 2021 yang mana Bank Islam mengambil alih status penyenaraian daripada kumpulan induknya dan menjadi satu-satunya bank Islam yang disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia.

Kumpulan telah diiktiraf sebagai salah satu daripada 50 Syarikat Tersenarai Awam ASEAN Terbaik di bawah Penilaian Serantau Skor Kad Tadbir Urus Korporat ASEAN semasa acara Anugerah Tadbir Urus Korporat ASEAN yang berlangsung pada Ogos tahun ini.

Hari ini, kumpulan memiliki jumlah aset melebihi RM100 bilion, meningkat daripada RM64 bilion pada tahun 2018, sekali gus menunjukkan kedudukan modal yang kukuh dan daya tahan kewangan yang berterusan.

Lembaga Pengarah Bank Islam telah memulakan proses pencarian rasmi untuk mengenal pasti pengganti yang sesuai bagi menerajui kumpulan ke fasa pertumbuhan seterusnya.

Pengumuman mengenai GCEO baharu akan dibuat setelah memperoleh kelulusan pihak kawal selia.