PASARAN saham melonjak semula manakala logam berharga kembali pulih pada Selasa apabila suasana pasaran menjadi lebih stabil, selepas kejatuhan besar yang dicetuskan oleh gabungan beberapa faktor negatif yang menggegarkan lantai dagangan di seluruh Asia.
Kenaikan di Wall Street, didorong oleh keyakinan terhadap ekonomi Amerika Syarikat (AS) susulan data pembuatan yang mengatasi jangkaan, memberi pemangkin yang amat diperlukan kepada pelabur untuk kembali memasuki pasaran.
Keuntungan kukuh yang dicatatkan sepanjang Januari dilihat berisiko terhapus pada awal minggu ini apabila dolar AS melonjak susulan berita bahawa Donald Trump telah memilih Kevin Warsh yang dianggap paling 'hawkish' antara calon-calon beliau untuk mengetuai Rizab Persekutuan (Fed).
Penganalisis berkata, pelantikan Warsh, bekas gabenor Fed dan jurubank pelaburan Morgan Stanley, meningkatkan jangkaan bahawa dasar bank pusat akan lebih menyokong pengukuhan dolar AS.
Mata wang AS sebelum ini mengalami tekanan minggu lalu berbanding mata wang utama lain, susulan kebimbangan bahawa Presiden AS selesa melihat dolar yang lebih lemah bagi menyokong eksport. Pemilihan Warsh juga meredakan kebimbangan mengenai kebebasan Fed.
Pemulihan mendadak dolar menyebabkan harga logam berharga menjunam dengan ketara, dengan emas merosot ke paras serendah AS$4,402 (RM17,368) dan perak AS$71 (RM280) selepas kedua-duanya menikmati kenaikan mendadak sebelum ini hingga mencatat paras tertinggi melebihi AS$5,595 (RM22,075) dan AS$121 (RM477).
Tindakan 'keluar' pelabur daripada aset selamat itu turut dipacu oleh ketegangan yang semakin reda antara AS dan Iran, selepas Trump menyuarakan keyakinan untuk mencapai perjanjian dengan Tehran, meskipun sebelum ini memberi amaran kemungkinan serangan ketenteraan. Faktor ini, digabungkan dengan dolar yang lebih kukuh, turut menyebabkan harga minyak jatuh mendadak.
Bagaimanapun, ketenangan kembali ke pasaran pada Selasa susulan kenaikan di New York, selepas data menunjukkan aktiviti pembuatan AS berkembang pada Januari pada kadar terpantas sejak 2022 dan merupakan pengembangan pertama dalam tempoh 12 bulan.
Dalam kalangan pasaran saham Asia, Seoul muncul sebagai prestasi terbaik dengan lonjakan melebihi lima peratus, selepas mencatat kejatuhan hampir sama pada Isnin. Indeks yang sarat dengan saham teknologi itu telah meningkat sekitar 20 peratus tahun ini, didorong oleh lonjakan minat terhadap kecerdasan buatan (AI).
Kata penganalisis Daishin Securities, Chung Hae-chang, penurunan pada Isnin bukan berpunca daripada asas sektor AI dan semikonduktor. Ia berlaku kerana aset sensitif kecairan seperti emas dan perak jatuh mendadak.
“Apabila panggilan margin berlaku pada satu bahagian pasaran, pelabur selalunya akan melaraskan cagaran, yang boleh mencetuskan pergerakan dalam aset lain. Pemulihan (Selasa) ini kelihatan seperti pembetulan daripada pergerakan tersebut,” katanya.
Parut dan kesan pertempuran
Tokyo, yang turut menempatkan syarikat teknologi besar, mencatat kenaikan lebih tiga peratus, manakala Hong Kong, Shanghai, Sydney, Singapura, Taipei, Bangkok dan Manila juga ditutup lebih tinggi.
Indeks Nifty di Mumbai melonjak hampir lima peratus selepas pelabur menyambut baik pengumuman Trump mengenai perjanjian perdagangan AS–India.
Trump turut berjanji untuk mengurangkan tarif ke atas barangan India selepas Perdana Menteri Narendra Modi berikrar untuk menghentikan pembelian minyak Rusia susulan perang di Ukraine.
Kata Chris Weston dari Pepperstone, keadaan pasaran kini lebih teratur dan tenang, dengan tanda-tanda jelas bahawa pedagang bersedia kembali mengambil posisi berisiko dan menjual turun naik indeks ekuiti.
“Perak dan emas masih berada dalam keadaan tidak menentu. Selepas kejatuhan yang begitu kuat, masih terdapat parut dan kesan pertempuran yang memerlukan masa untuk pulih sebelum pasaran benar-benar yakin bahawa kedudukan pelaburan telah dileraikan sepenuhnya dan proses penjualan paksa sudah berakhir,” katanya.
Pedagang terus memantau perkembangan di Washington selepas Trump menggesa Dewan Perwakilan meluluskan rang undang-undang perbelanjaan dengan segera bagi menamatkan penutupan kerajaan yang telah berlarutan selama tiga hari.
“Saya berharap semua Republikan dan Demokrat akan bersama-sama menyokong rang undang-undang ini dan menghantarnya ke meja saya tanpa lengah,” kata Trump dalam hantaran di Truth Social.
Penutupan kerajaan itu berlaku selepas rundingan menemui jalan buntu berikutan kemarahan Demokrat terhadap pembunuhan dua penunjuk perasaan di Minneapolis oleh ejen imigresen persekutuan, yang menjejaskan perbincangan mengenai peruntukan baharu untuk Jabatan Keselamatan Dalam Negeri.
Speaker Dewan Perwakilan yang dikuasai Republikan, Mike Johnson, menyatakan keyakinan bahawa persetujuan akan dicapai dalam masa terdekat. - AFP
Info
Tokyo – Nikkei 225: Naik 3.7% kepada 54,583.74
Hong Kong – Indeks Hang Seng: Naik 0.2% kepada 26,830.50 (rehat)
Shanghai – Komposit: Naik 0.4% kepada 4,031.07 (rehat)
Dolar/yen: Turun kepada 155.47 yen daripada 155.60 yen Isnin
Euro/dolar: Naik kepada AS$1.1813 daripada AS$1.1793
Pound/dolar: Naik kepada AS$1.3690 daripada AS$1.3667
Euro/pound: Naik kepada 86.30 pence daripada 86.29 pence
West Texas Intermediate: Turun 0.4% kepada AS$61.92 setong
Brent Laut Utara: Turun 0.4% kepada AS$66.02 setong
New York – Dow: Naik 1.1% kepada 49,407.66 (ditutup)
London – FTSE 100: Naik 1.2% kepada 10,341.56 (ditutup)