RINGGIT ditutup tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), mata wang utama lain serta unit serantau ASEAN pada Selasa, terus dipacu oleh keyakinan terhadap prospek pertumbuhan ekonomi Malaysia.
Pada 6 petang, ringgit mengukuh semula kepada 3.9295/9360 berbanding dolar AS daripada 3.9440/9500 ketika ditutup pada Jumaat minggu lepas, apabila dagangan disambung semula hari ini selepas pasaran ditutup semalam.
Pasaran tidak beroperasi pada Isnin sempena hari kelepasan am gantian susulan pertindihan sambutan Hari Wilayah Persekutuan dan Thaipusam pada Ahad 1 Februari 2026.
Mata wang tempatan menyambung semula aliran pengukuhan selepas turun seketika berbanding dolar AS pada Khamis dan Jumaat lepas, susulan Rizab Persekutuan AS (Fed) mengekalkan kadar faedahnya.
Malaysia mencatatkan peningkatan Indeks Pengurus Pembelian (IPP) pembuatan keseluruhan kepada paras tertinggi dalam tempoh 20 bulan iaitu 50.2 pada Januari 2026 daripada 50.1 yang direkodkan pada Disember 2025, menurut S&P Global pada Isnin.
Firma itu memaklumkan prestasi tersebut sekali gus menunjukkan peningkatan bulanan ketiga berturut-turut bagi prestasi positif sektor pembuatan Malaysia
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata peningkatan IPP itu menunjukkan perniagaan meraih manfaat daripada kos input yang lebih rendah, disokong oleh pengukuhan ringgit.
"Pengukuhan ringgit yang berterusan mencerminkan keyakinan bahawa ekonomi Malaysia mampu mencatatkan pertumbuhan yang memberangsangkan tahun ini.
"Oleh itu, para pedagang dan pelabur kekal positif terhadap ringgit hari ini, dengan mata wang tempatan meningkat sebanyak 0.41 peratus,” katanya kepada Bernama.
Mohd Afzanizam berkata mata wang tempatan meneruskan aliran meningkat berbanding dolar AS walaupun AS merekodkan data ekonomi yang lebih baik daripada jangkaan.
Menurut Institute for Supply Management (ISM) AS, IPP pembuatan negara itu menokok kepada 52.6 mata pada Januari daripada 47.9 mata pada Disember 2025, melebihi jangkaan konsensus pada 48.5 mata.
"Ini bermakna kebarangkalian pengurangan kadar faedah AS adalah kekal rendah kerana sentimen perniagaan yang bertambah baik adalah sejajar dengan penilaian Rizab Persekutuan AS (Fed) bahawa aktiviti ekonomi berkembang pada kadar yang kukuh,” tambahnya.
Pada akhir dagangan, ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding mata wang utama lain.
Unit domestik meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.5210/5253 daripada 2.5562/5603, dan naik berbanding pound British kepada 5.3704/3793 daripada 5.4163/4245 ketika ditutup pada Jumaat lepas.
Ringgit juga lebih tinggi berbanding euro kepada 4.6341/6417 daripada 4.6957/7029.
Ringgit didagangkan lebih kukuh berbanding mata wang negara serantau ASEAN.
Unit tempatan lebih teguh berbanding dolar Singapura kepada 3.0919/0973 daripada 3.1077/1127 ketika ditutup Jumaat minggu lepas, dan meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.4584/4845 daripada 12.5250/5544.
Mata wang domestik lebih stabil berbanding rupiah Indonesia kepada 234.5/235.0 daripada 234.9/235.4, serta tinggi berbanding peso Filipina kepada 6.67/6.68 daripada 6.69/6.71. - Bernama