IPOH - Seramai 2,922 mangsa banjir daripada 993 keluarga di seluruh negeri Perak masih ditempatkan di 26 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat pagi ini pada Sabtu.
Menurut laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perak, jumlah berkenaan adalah kekal sejak Jumaat.
Daerah Larut Matang dan Selama mencatat jumlah mangsa tertinggi iaitu 2,051 orang daripada 721 keluarga yang kini berada di 19 PPS di kawasan itu.
Daerah Manjung turut merekodkan jumlah tinggi dengan 570 orang daripada 187 keluarga yang ditempatkan di empat PPS.
Sementara itu, Perak Tengah menempatkan 105 mangsa daripada 31 keluarga di sebuah PPS, manakala di Kerian terdapat 250 mangsa daripada 54 keluarga di dua PPS yang masih beroperasi.
Sementara itu, rekod pemantauan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menunjukkan dua sungai di Perak ketika ini berada pada paras bahaya.
Sungai Slim di Slim River dengan bacaan 25.54 meter berbanding paras normal 23.50 meter, manakala Kolam Air Bukit Merah yang merekodkan 9.23 meter berbanding paras normal 8.68 meter.
Selain itu, Empangan Ulu Kinta menunjukkan paras amaran dengan bacaan 248.16 meter, manakala Sungai Kampar di Kampung Baru Kuala Dipang turut mencatat paras amaran 22.50 meter.