JOHOR BAHRU – Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) menahan sepasang lelaki dan wanita warga Singapura selepas disyaki berkhalwat di sebuah kondominium mewah di pusat bandar raya ini pada Jumaat.
Menurut sumber JAINJ, serbuan kira-kira jam 9 pagi itu dilakukan selepas dua bulan risikan dijalankan terhadap beberapa unit kondominium yang disewa secara harian melalui aplikasi dalam talian.
Katanya, seorang lelaki berusia 30-an dan pasangannya, wanita berumur lingkungan 20-an ditahan sekitar jam 9 pagi.
“Ketika pintu diketuk, pasangan terbabit terkejut kerana tidak menyangka kehadiran penguat kuasa di kawasan penginapan mereka.
“Pintu dibuka oleh seorang wanita berseluar pendek dan baju T, manakala seorang lelaki berbaring di atas katil berselimut separuh badan,” katanya dalam kenyataan.
Menurut sumber itu lagi, lelaki berkenaan dipercayai sudah beristeri dan mempunyai anak, manakala wanita terbabit berstatus janda tiada anak.
"Mereka menyewa bilik ini secara online sejak semalam dan pagi tadi mereka akan keluar bilik.
"Hubungan mereka sebagai kawan atau skandal satu tempat kerja. Dulu dia orang pernah kerja satu tempat. Banyak soalan mereka susah nak jawab kerana tidak menyangka mereka kena tangkap," katanya
Sumber itu memberitahu, pihaknya menjalankan risikan selama lebih dua bulan terhadap beberapa kondominium mewah yang disewa secara harian melalui aplikasi dalam talian selepas menerima maklumat bahawa lokasi berkenaan sering dijadikan tempat perlindungan bagi pasangan tidak berkahwin.
"Tempat ini mempunyai pengawal keselamatan dan kerahsiaan maklumat adalah penting kepada penguat kuasa.
“Beberapa kondominium disewa secara harian melalui aplikasi internet yang dibayar secara online. Penyewa terus datang dan masuk tanpa bertemu pemilik serta tiada kaunter seperti di hotel," katanya.
JAINJ menegaskan pihaknya akan terus mempergiatkan operasi bagi memastikan tiada tempat dianggap ‘selamat’ untuk pelaku maksiat di negeri ini.
Justeru pihaknya menyeru orang ramai agar menyalurkan maklumat terus kepada jabatan berkenaan menerusi talian 07-207 6429.
Pasangan warga Singapura itu ditangkap dan dibawa Pejabat Agama Islam Daerah Johor Bahru untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997 kerana disyaki berkhalwat.