SHAH ALAM - Dalam menggerakkan agenda nasional, peranan Institut Pengajian Profesional dan Pendidikan Berterusan (iCEPS) Universiti Teknologi MARA (UiTM) semakin penting sebagai pusat pembelajaran sepanjang hayat (PSH).
Ia cukup signifikan khususnya dalam menterjemah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2015–2025 (Pengajian Tinggi) dan hala tuju semasa Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Ketua Eksekutif Institut Pendidikan Berterusan dan Pengajian Profesional (iCEPS) UiTM, Profesor Dr Faizah Abd Majid berkata, pelan tersebut menekankan Lonjakan 3: Menghayati Pembelajaran Sepanjang Hayat yang kini diperkukuh melalui Pelan Induk Pembudayaan PSH Nasional.
“Seiring dengan matlamat pelan untuk memperkukuh akses, ekuiti dan kualiti PSH dalam kalangan masyarakat, iCEPS telah membangunkan CEO Dashboard berasaskan Electronic Dynamic iCEPS (EDi).
“Sistem ini berperanan sebagai alat pemantauan strategik di bawah kerangka pelan tindakan strategik (SAP) UiTM, bagi menilai pencapaian petunjuk prestasi utama (KPI) dan penunjuk prestasi (PI) secara menyeluruh dan masa nyata,” katanya.
Melalui integrasi data automatik, dashboard berkenaan membolehkan pengurusan menilai prestasi iCEPS dalam aspek utama seperti peningkatan bilangan kursus profesional dan pendek.
Aspek lain termasuk pertambahan pelajar separuh masa, pelajar francais tempatan dan antarabangsa, peluasan penawaran Micro-Credential serta Massive Open Online Courses (MOOC), selain peningkatan hasil penjanaan pendapatan Kumpulan Wang Amanah.
Secara keseluruhannya, CEO Dashboard EDi iCEPS menjadi nadi transformasi digital yang memacu ketelusan, ketepatan dan kecekapan pengurusan PSH.
Ia bukan sekadar alat pemantauan, tetapi satu platform strategik yang memastikan setiap keputusan berasaskan data kukuh, sejajar dengan aspirasi UiTM dan negara dalam membina masyarakat berpengetahuan, berkemahiran serta sejahtera.