10 bulan terkandas, Youssouf akhirnya pulang ke negara asal

Iklan
Dari kiri: Asyraf, Youssouf dan Hanani selepas penyerahan dokumentasi perjalanan baru-baru ini.

PEMAIN bola sepak profesional dari Mauritania, Youssouf Wade, akhirnya pulang ke tanah air hasil keprihatinan Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) dengan kerjasama rapat Kesatuan Pemain-Pemain Bola Sepak Dunia (FIFPRO) setelah hampir 10 bulan terkandas di Malaysia akibat masalah dokumentasi.

Menurut PFAM, Youssouf sebelum ini pernah beraksi bersama sebuah kelab tempatan, namun krisis dalaman pasukan berkenaan menyebabkan beliau gagal memperbaharui pas lawatan serta pasportnya.

Iklan
Iklan

Situasi itu mengakibatkan beliau tidak dapat meninggalkan Malaysia sejak penghujung tahun lalu.

"Bertindak atas makluman yang diterima daripada FIFPRO, PFAM segera mengatur langkah membantu Youssouf dengan menyelaraskan pelbagai urusan termasuk dokumentasi perjalanan dan pelepasan imigresen.

Iklan

"Dalam usaha menghantar pulang pemain berusia 21 tahun itu ke Mauritania, PFAM turut menjalin kerjasama dengan Kedutaan Mauritania di Indonesia bagi mendapatkan Dokumen Perjalanan Kecemasan (DPK) bagi membolehkan proses repatriasi dilakukan secara sah dan selamat.

"Selain itu, PFAM juga membantu pemain berkenaan memperoleh Pas Istimewa daripada Jabatan Imigresen Malaysia melalui Program Repatriasi Migran, satu inisiatif yang memudahkan penghantaran pulang warga asing secara teratur dan bermaruah," kata PFAM pada Jumaat.

Iklan

Usaha bersepadu ini turut disokong Penasihat Undang-Undang FIFPRO, Barbara Mere; Eksekutif Perundangan PFAM, Asyraf Zulkefle serta Eksekutif Pentadbiran PFAM, Hanani Azren yang memainkan peranan penting dalam memastikan semua urusan berjalan lancar.

“PFAM kekal komited melindungi kebajikan serta hak semua pemain bola sepak profesional di Malaysia tanpa mengira warganegara,” kata PFAM.