KELANTAN The Real Warriors (KTRW) memperkukuhkan jentera serangan gergasi Pantai Timur itu dengan mendapatkan khidmat pemain import dari Perancis, Enzo Celestine, bagi menghadapi baki saingan Liga Super musim ini.
Kelab itu memaklumkan Celestine telah menandatangani kontrak bersama pasukan dan dijangka membuat penampilan sulung dalam aksi Piala Cabaran menentang Imigresen FC pada Jumaat ini.
Menurut kenyataan KTRW, pemain berusia 28 tahun itu akan digandingkan bersama penyerang tempatan dalam usaha memperbaiki kedudukan pasukan dalam carta Liga Super.
Celestine memiliki pengalaman luas beraksi di Eropah apabila pernah menyertai beberapa kelab di Perancis selain beraksi dalam liga Romania bersama Arges Pitesti.
Pemain berketinggian 1.90 meter itu juga pernah beraksi di Asia, termasuk Liga Indonesia bersama Persipura Jayapura, Persibo Bojonegoro dan Persikad Depok.
“Beliau menunjukkan konsistensi serta ketajaman di hadapan gol sepanjang beraksi dalam Liga 2 Indonesia dan diharapkan mampu menjadi penyerang utama pasukan,” menurut kenyataan itu.
KTRW kini berada di kedudukan ke-10 Liga Super selepas mengharungi 16 perlawanan dengan mengumpul 15 mata hasil empat kemenangan, tiga seri dan sembilan kekalahan. – Bernama