SHAH ALAM - Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengingatkan setiap pemegang kad pengenalan MyKad untuk bertanggungjawab sepenuhnya terhadap penjagaan dan keselamatan dokumen diri itu.
Ketua Pengarah JPN, Datuk Badrul Hisham Alias berkata, perkara itu telah diperuntukkan di bawah Peraturan 6 Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990.
Menurutnya, MyKad merupakan dokumen identiti rasmi yang perlu dijaga rapi dan tidak boleh diserahkan atau ditinggalkan dalam jagaan pihak lain.
"Sekiranya seseorang cuai menyebabkan kehilangan MyKad, individu tersebut boleh dikenakan denda sebanyak RM100 bagi kehilangan kali pertama, RM300 bagi kehilangan kali kedua dan RM1,000 bagi kehilangan kali ketiga dan seterusnya, selain fi proses sebanyak RM10 bagi setiap gantian.
"Jika berlaku kehilangan, JPN menasihatkan orang ramai agar segera membuat laporan polis dan hadir ke mana-mana pejabat JPN untuk urusan gantian MyKad," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Beliau berkata demikian bagi mengulas tular gambar beberapa MyKad yang dipercayai tertinggal oleh pemiliknya di kaunter sebuah stesen minyak.
Tambah Badrul Hisham, setiap laporan yang dibuat amat penting bagi mengelakkan risiko penyalahgunaan oleh pihak tidak bertanggungjawab, terutamanya dalam urusan pengesahan identiti atau transaksi rasmi.