SHAH ALAM - Sebanyak 152 kes hiwalah didaftarkan di Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) di bawah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) setakat September lalu dan 26 daripadanya berjaya diselesaikan melalui pembekuan akaun bank milik penghutang penghakiman.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, usaha keras telah dilaksanakan bagi membolehkan tindakan sekatan akaun bank diambil terhadap bekas suami atau bapa yang culas memberi nafkah.
Menurutnya, ia cadangan yang dimulakan sewaktu beliau memegang jawatan sebagai Ketua Pengarah JKSM dari April 2019 sehingga Disember 2022.
Jelasnya, pindaan terhadap Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 [Akta 758], Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 [Akta 759], dan Akta Institusi Kewangan Pembangunan 2002 [Akta 618] telah diwartakan.
"Pindaan ini dibuat bagi mengiktiraf dan membolehkan perintah hiwalah yang dikeluarkan Mahkamah Syariah dilaksanakan oleh institusi perbankan berlesen ke atas simpanan penghutang penghakiman.
"Perintah hiwalah ini memberikan sinar baharu kepada isteri atau bekas isteri dan anak-anak yang teraniaya akibat kegagalan pemberian nafkah.
"Nilai keseluruhan simpanan yang dipindahkan kepada pemiutang penghakiman daripada akaun tersebut adalah sebanyak RM79,820," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, langkah menyita simpanan kewangan bekas suami yang culas membayar nafkah sedang diusahakan.
Mohd Na'im memberitahu, BSK di bawah JKSM selesai mengadakan perbincangan dengan Bank Negara Malaysia (BNM) bagi membolehkan pelaksanaan langkah itu menerusi perintah Mahkamah Syariah.
Beliau menjawab soalan tambahan Dr Abd Ghani Ahmad (PN-Jerlun) di Dewan Rakyat pada Khamis berhubung mekanisme pemantauan yang diwujudkan kerajaan melalui BSK-JKSM bersama BNM bagi memastikan pelaksanaan sekatan akaun bank terhadap bekas suami atau bapa yang culas menunaikan nafkah.
Mohd Na'im memaklumkan, tindakan tegas lain turut dikenakan BSK-JKSM termasuk memenjarakan pihak yang cuai melaksanakan tanggungjawab nafkah.
Di samping itu, katanya, promosi dan kempen kesedaran sentiasa dipergiatkan di seluruh negara agar masyarakat cakna tentang perintah Mahkamah Syariah.
"Kerajaan Madani amat komited untuk membantu rakyat, khususnya golongan ibu tunggal dan anak-anak yang dinafikan hak nafkah mereka.
"Oleh itu, sebarang dakwaan bahawa kerajaan bersikap lepas tangan adalah tidak benar.
"Sebaliknya, kerajaan menyeru semua pihak untuk menyampaikan mesej yang tepat dan membantu memberikan maklumat berkaitan dasar serta langkah yang telah dilaksanakan," ujar beliau.