BALIK PULAU - Seorang fasilitator kem motivasi dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat atas tiga pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak lelaki pada 12 Oktober lalu.
Tertuduh, Mohamad Firdaus Abdul Shukor, 33 bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Chua Huey Ting.
Mengikut pertuduhan, bapa kepada dua orang anak itu didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak yang berusia 12 tahun enam bulan di Kem White Resort, Kampung Genting di sini antara jam 4.09 pagi hingga 4.30 pagi.
Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 14(a) dan Seksyen 14 (d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 14 akta sama.
Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan boleh disebat.
Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, R Lushani manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah mengarahkan kes dirujuk ke Mahkamah Sesyen untuk urusan jaminan sekaligus menetapkan 28 Oktober depan untuk lantikan peguam dan sebutan kes.
Sebelum ini Sinar Harian melaporkan seorang fasilitator ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes cabul empat murid lelaki Tahun Enam ketika mengikuti kem motivasi di sebuah kem di Kampung Genting, di sini pada tengah malam, 12 Oktober lalu.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, lelaki berusia 33 tahun itu ditahan di rumahnya di Sungai Petani pada jam 9 malam Rabu.
Menurutnya, suspek yang sudah berkahwin dan mempunyai dua anak itu ditahan selepas guru besar sekolah mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Bagan Serai, Perak pada hari sama.
"Kesemua mangsa merupakan murid sekolah kebangsaan dari daerah Kerian, Perak. Mereka datang ke kem di sini untuk mengikuti kem motivasi.
"Suspek dipercayai mencabul kesemua mangsa ketika mereka sedang tidur di dorm kem terbabit," katanya.