Usaha sebar mesej integriti

Iklan
Hanim (kiri), Nurhayati

SHAH ALAM - Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) dan Rasuah Busters menyasarkan sebanyak 400 penyertaan dalam pertandingan video pendek sempena Hari Antirasuah Antarabangsa (HARA) 2025 yang akan bermula Sabtu ini sehingga 30 November depan.

Naib Presiden Ikram, Profesor Dr Hanim Salleh berkata, penganjuran kali ketiga bertemakan ‘Integriti Dibina, Rasuah Binasa’ itu dibuka kepada empat kategori iaitu guru atau murid, mahasiswa institusi pengajian tinggi (IPT), sektor awam dan umum.

Iklan
Iklan

“Tahun lepas kita menerima sambutan menggalakkan dengan 135 penyertaan dengan hampir 1,000 rakyat Malaysia berperanan sebagai peserta, pelakon serta tenaga produksi dan tahun ini kita menyasarkan 400 penyertaan dengan penglibatan lebih 10,000 rakyat di seluruh negara.

“Hadiah pertandingan keseluruhan berjumlah RM17,000 yang mana tempat pertama setiap kategori akan menerima RM1,500 dan RM1,000 lagi untuk tontonan tertinggi,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Iklan

Menurut beliau, setiap video berdurasi maksimum tiga minit mestilah padat dengan mesej yang jelas dan menyentuh hati penonton selaras dengan gaya tontonan masyarakat kini.

“Penghasilan video mestilah kemas dan menarik selain asli dan tulen kandungannya serta perlu dimuat naik ke akaun TikTok peserta sendiri.

Iklan

“Bagi menggalakkan penglibatan lebih ramai rakyat Malaysia, video yang melibatkan ramai pelakon akan diberi markah tambahan dan hadiah disampaikan pada Karnival HARA Disember depan,” katanya.

Hanim berkata, pertandingan itu diadakan supaya mesej integriti tersebar lebih luas, organik dan autentik menerusi video pendek di media sosial.

“Matlamatnya adalah untuk menyemarakkan kesedaran rakyat terhadap kepentingan integriti dan bahaya rasuah.

“Selaras dengan tema kali ini, kita menekankan bahawa integriti tidak muncul secara spontan sebaliknya ia mesti dibina, diasuh dan diteladankan manakala rasuah pula ialah racun yang mampu merosakkan negara jika dibiarkan,” katanya.

Tambah beliau, rasuah bukan sekadar jenayah undang-undang tetapi penyakit sosial yang meruntuhkan kepercayaan dan masa depan bangsa.

“Melalui video pendek, mesej integriti disampaikan dan mudah difahami sekali gus menonjolkan nilai kejujuran, amanah dan keberanian menolak salah guna kuasa.

“Menjadi harapan kita agar nilai integriti berjaya dihidupkan dalam setiap lapisan masyarakat bermula daripada pelajar hinggalah pemimpin. Membentuk budaya hidup berintegriti dalam kalangan rakyat bukan sekadar kempen tahunan,” ujarnya.

Hanim berkata, setiap video yang dihasilkan dalam pertandingan itu merupakan suara rakyat yang menolak rasuah dan menyeru kepada kejujuran.

“Gunakan pertandingan ini sebagai platform menyampaikan mesej kebaikan melalui kreativiti. Nilai integriti bermula dari diri sendiri dan kita mahu masyarakat yang berani jujur, berani menolak rasuah dan berani membetulkan keadaan.

“Apabila integriti dibina rakyat menjadi kuat, apabila rasuah dibiarkan berleluasa, negara akan binasa. Integriti adalah maruah bangsa, apabila maruah dijaga negara terpelihara,” jelas beliau.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia (RasuahBusters), Nurhayati Nordin berkata, kerjasama bersama Ikram merupakan gabungan kekuatan entiti yang membawa nilai integriti di peringkat akar umbi.

“Ini bukan program HARA semata-mata sebaliknya ia kesinambungan gelombang Rasuah Busters yang disambut Ikram dan dihadiahkan kepada rakyat. Inilah erti gerakan rakyat kepada rakyat.

“Walaupun ia pertandingan video, ia juga suara hati daripada pelbagai lapisan masyarakat, bagaimana naratif yang dilakukan dan hasilnya, kita dapat melihat sejauh mana mesej ini digarap dalam bentuk karya agung untuk disampaikan kepada masyarakat,” katanya.

Menurut beliau, pertandingan video pendek tersebut merentas generasi, dicapai menerusi lakonan dan kreativiti serta mesej yang disampaikan membantu gerakan pembangunan sosial dan menambah baik agenda nasional negara.