LRT Mutiara manfaat besar buat Pulau Pinang

Iklan
LRT Mutiara bukan semata-mata projek infrastruktur, tetapi pelaburan strategik jangka panjang untuk memastikan Pulau Pinang kekal berdaya saing. Gambar hiasan

ISU projek Transit Aliran Ringan (LRT) Mutiara di Pulau Pinang kembali hangat diperkatakan di negeri ini.

Projek yang menjadi nadi utama dalam Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) itu dilihat sebagai antara usaha paling besar kerajaan Pulau Pinang bagi menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas yang kian meruncing di negeri ini.

Iklan
Iklan

Namun, timbul persoalan adakah projek LRT ini benar-benar satu keperluan mendesak, atau sekadar projek mega yang boleh ditangguhkan?

Ahli Parlimen Permatang Pauh, Muhammad Fawwaz Mohamad Jan baru-baru ini tampil menyuarakan pandangan bahawa projek LRT Mutiara bukanlah satu keperluan penting buat masa ini.

Iklan

Malah, beliau telah dua kali membangkitkan isu itu dengan alasan bahawa terdapat keutamaan lain yang perlu diberi perhatian terlebih dahulu.

Pandangan itu mencetuskan perdebatan dalam kalangan rakyat, termasuk penyokong parti kerajaan dan pembangkang yang masing-masing mempunyai tafsiran tersendiri terhadap keperluan projek berkenaan.

Iklan

Ada yang berpendapat, LRT merupakan penyelesaian jangka panjang kepada kesesakan yang semakin serius manakala sebahagian lagi menganggap ia bukan keutamaan ketika ini.

Bagi pihak kerajaan negeri, LRT Mutiara bukan semata-mata projek infrastruktur, tetapi pelaburan strategik jangka panjang untuk memastikan Pulau Pinang kekal berdaya saing.

Menurut statistik Jabatan Pengangkutan Jalan, lebih 1.5 juta kenderaan berdaftar di Pulau Pinang dengan populasi sekitar 1.8 juta penduduk.

Ini bermakna, hampir setiap individu memiliki kenderaan sendiri satu petanda betapa seriusnya kesesakan terutama di kawasan pulau.

Menjawab kritikan pihak yang mempersoalkan keperluan LRT, Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Tikus, Joshua Woo menjelaskan bahawa projek itu sebahagian daripada pelan jangka panjang 50 tahun PTMP, yang merangkumi lebih 10 komponen utama termasuk LRT, Bas Rapid Transit (BRT), monorel, kereta kabel rentas laut, trem, serta tiga jalan pintas utama.

Beliau berkata, selain dua projek besar bernilai RM17 bilion iaitu Laluan LRT Mutiara dan Jalan Pintas Farlim - Tun Dr Lim Chong Eu, kerajaan negeri turut melaksanakan lima langkah penyelesaian jangka pendek bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas.

Antaranya ialah perkhidmatan bas percuma rentas jambatan (CAT Bridge), feri yang menghubungkan antara tanah besar dan pulau, van atas permintaan, Pas Mutiara untuk perjalanan percuma, serta perkhidmatan BEST (Bridge Express Shuttle Service) yang membantu mengurangkan jumlah kenderaan memasuki pulau setiap hari.

Menurut Joshua, semua inisiatif ini telah menunjukkan hasil positif.

Contohnya, perkhidmatan feri yang mencatat sehingga 8,000 penumpang sehari, manakala Pas Mutiara kini digunakan oleh lebih 200,000 pengguna, menunjukkan peningkatan kesedaran terhadap pengangkutan awam.

Beliau turut menjelaskan bahawa kesesakan masih berlaku kerana tiga faktor utama pertambahan penduduk, peningkatan pendapatan dan pertambahan kenderaan.

Justeru katanya, perkhidmatan LRT amat diperlukan rakyat di negeri ini bukan sahaja demi kesejahteraan masyarakat pada masa depan sekali gus akan dapat menyelesaikan isu kesesakan trafik yang sekian lama dialami mereka.

Buat masa ini, rakyat mungkin perlu bersabar dengan sedikit kesesakan dan bunyi jentera berat apabila kerja awal telah dimulakan.

Tetapi apabila semuanya sudah siap nanti, tren pertama LRT Mutiara meluncur melintasi bandar George Town pasti akan membuatkan ramai akan lega.

Bertepatan dengan baris ayat yang sering digunakan 'Kesulitan anda pada hari ini ialah untuk keselesaan anda pada hari esok.

Semoga projek mega di Pulau Pinang ini akan menyelesaikan masalah kesesakan trafik dan memberi keselesaan buat rakyat demi manfaat jangka panjang.

*Mohd Iskandar Othman ialah Wartawan Sinar Harian Biro Utara