DALAM usaha memperkukuh sistem pendidikan negara, kita sering bercakap tentang kemajuan teknologi, kemahiran abad ke-21 dan pembelajaran berasaskan digital. Namun dalam keghairahan mengejar kemodenan, ada satu perkara asas yang semakin dilupakan iaitu disiplin. Dan di sebalik disiplin itu, pernah wujud satu simbol yang berkesan, iaitu rotan.
Rotan bukan sekadar alat hukuman. Ia lambang ketegasan yang disulami kasih sayang. Dahulu, guru menggunakan rotan bukan untuk mencederakan, tetapi untuk membentuk akhlak dan rasa tanggungjawab dalam diri murid. Setiap kali rotan diangkat, ia membawa pesan bahawa setiap kesalahan ada akibat, setiap tindakan ada batas. Nilai ini yang kini semakin luntur dalam masyarakat.
Realitinya, apabila budaya takut kepada rotan hilang, hilang juga rasa hormat terhadap guru. Kita kini menyaksikan generasi yang lebih berani melawan, kurang ajar dan tidak segan mempertikai teguran. Malah ada ibu bapa yang cepat menuduh guru mendera hanya kerana anak ditegur. Akhirnya, guru takut mendidik dan sekolah kehilangan peranan membentuk karakter.
Sudah tentu, bukan semua hukuman fizikal wajar dikembalikan. Rotan tidak boleh digunakan dengan emosi atau tanpa batas. Tetapi menafikan terus penggunaannya juga bukan jalan terbaik.
Dalam kerangka pendidikan yang berasaskan nilai, rotan boleh dilihat sebagai simbol disiplin yang mendidik dan bukan sebagai ancaman.
Pendidikan bukan sekadar menyampaikan ilmu, tetapi membentuk manusia. Pembentukan itu memerlukan keseimbangan antara kelembutan dan ketegasan. Jika guru diberi ruang menggunakan rotan dengan tertib dan berpandu kepada garis panduan yang jelas, ia boleh menjadi sebahagian daripada pendekatan pendidikan berhemah.
Namun begitu, tanggungjawab mendidik tidak boleh diserahkan kepada guru semata-mata. Ibu bapa juga perlu memainkan peranan yang sama dalam menanam nilai disiplin di rumah. Jika anak dimanjakan di rumah, tetapi diharapkan menjadi berdisiplin di sekolah, usaha guru akan menjadi sia-sia. Disiplin mesti dibina secara seiring antara keluarga dan institusi pendidikan, bukan saling menyalahkan.
Generasi terdahulu yang pernah dirotan bukan menjadi trauma, malah berjaya kerana teguran itu menjadikan mereka lebih berprinsip dan menghormati ilmu. Selagi prinsip itu dijaga, rotan bukan musuh pendidikan, tetapi sahabat kepada pembentukan akhlak.