KOTA KINABALU - Prosiding inkues kematian Zara Qairina Mahathir yang berlangsung di Mahkamah Koroner pada Khamis, turut mendengar keterangan saksi ke-30 yang merupakan antara pelajar yang pergi ke tandas bersama dua rakan lain pada malam 15 Julai lalu.
Saksi yang juga kanak-kanak ke-21 memberi keterangannya secara 'in camera' di hadapan Hakim Koroner, Amir Shah Amir Hassan namun tertagguh selepas terdapat masalah teknikal di dalam bilik mahkamah.
Peguam Joan Goh berkata, saksi berkenaan diminta untuk mengenal pasti empat buku yang diperoleh daripada beg milik Zara Qairina.
"Ekshibit merupakan buku 'Love and Peace' dan saksi mengenal pasti diari itu sebagai milik Zara. Saksi juga memaklumkan bahawa Zara gemar menconteng dan menulis perkara kecil dalam diari berkenaan seolah-olah mencurahkan perasaan melalui tulisan," katanya kepada pemberita di pekarangan Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu.
Joan berkata, saksi berkenaan turut menjelaskan bahawa dia tidak membaca keseluruhan diari, sebaliknya hanya sebahagian kandungan dalam diari tersebut.
"Selain itu, saksi turut menyebut bahawa arwah pernah bertanya kepada dua rakan baiknya, 'Kalau saya terjun dari sini, kamu sayang saya kah?', seperti yang diberitahu oleh salah seorang saksi," jelasnya.
Prosiding inkues akan bersambung Isnin depan dengan mendengar sambungan daripada keterangan saksi tersebut.
Joan bersama rakan sepasukannya iaitu Datuk Ram Singh dan Prem Elmer Ganasan mewakili salah seorang daripada lima pelajar yang dituduh dalam kes berkaitan Zara Qairina dan mereka menjadi pihak berkepentingan dalam inkues tersebut.
Allahyarham Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama sekolahnya pada awal pagi 16 Julai lalu sebelum meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth (HQE) keesokan harinya.