Polis kenal pasti suspek siri tembakan di Klang, Banting

Iklan
Shazeli

SHAH ALAM – Polis telah mengenal pasti suspek yang terlibat dalam beberapa insiden tembakan yang berlaku di Klang dan Banting sejak kebelakangan ini dengan operasi berterusan giat dijalankan di lapangan.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, operasi penguatkuasaan dilaksanakan bersama Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman bagi mengesan dan mengekang kegiatan jenayah berkenaan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, usaha penguatkuasaan setakat ini telah mula menghasilkan petunjuk serta maklumat risikan penting.

“Operasi telah dan masih dijalankan berkaitan kes-kes ini dan ia menghasilkan keputusan serta petunjuk siasatan kepada polis.

Iklan

“Apa yang boleh saya katakan, orang ramai perlu yakin dengan pihak polis,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini pada Rabu.

Beliau berkata, operasi aktif yang sedang berjalan mengehadkan maklumat yang boleh didedahkan kepada umum buat masa ini.

Iklan

Tambahnya, perkembangan siasatan tidak boleh diukur semata-mata berdasarkan tangkapan atau pertuduhan rasmi.

“Penyelesaian sesuatu kes tidak semestinya memerlukan tangkapan dan pertuduhan bagi kesalahan khusus itu.

“Terdapat saluran undang-undang yang membolehkan tindakan diambil berdasarkan bukti yang ada,” katanya.

Menurut beliau, sekiranya bukti tidak mencukupi untuk menyokong tangkapan segera atau pendakwaan bagi sesuatu kesalahan, tindakan lain masih boleh diambil mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

Shazeli berkata, kerjasama antara JSJ Selangor dan Bukit Aman telah berjalan sejak kejadian berlaku.

Katanya, kerjasama itu membolehkan penyiasat menggunakan rangkaian risikan dan operasi yang lebih meluas.

“Sebab itu kita menerima banyak maklumat hasil bantuan Bukit Aman yang mempunyai capaian lebih luas.

“Walaupun belum ada tangkapan yang diumumkan secara langsung berkaitan kes tembakan tersebut, tindakan polis di bawah kesalahan berkaitan masih diteruskan, namun ia tidak dapat diulas secara lanjut kerana operasi masih berjalan di lapangan,” katanya.

Pada Januari lalu, beberapa insiden tembakan dilaporkan berlaku di sekitar Klang yang mencetuskan kebimbangan awam berkaitan kegiatan gangsterisme, keselamatan awam serta pengaruh kumpulan jenayah di daerah itu.

Dalam perkembangan berkaitan, bekas Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago dilaporkan berkata, siri tembakan terbaharu itu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk.

Beliau dilaporkan berkata, sebahagian penduduk bimbang untuk keluar rumah bukan sahaja pada waktu malam, malah pada waktu siang.