SHAH ALAM – Taktik sindiket penipuan dalam talian menyamar sebagai pegawai pusat panggilan bagi menawarkan kerja sambilan serta pelaburan saham kepada mangsa luar negara dibongkar menerusi tiga serbuan berasingan di Selangor, bulan lalu.
Sindiket dikesan menggunakan pelbagai platform digital termasuk aplikasi WhatsApp, Telegram, TikTok serta laman web khas bagi memancing mangsa.
Mangsa kemudian diyakinkan untuk membuat bayaran kononnya bagi tujuan pelaburan atau menyertai tugasan kerja dalam talian.
Lebih membimbangkan, kumpulan itu menyasarkan mangsa warga asing termasuk dari Australia, Itali, China dan Pakistan dengan menempatkan operator di unit kediaman bagi menjalankan aktiviti penipuan secara tersusun.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, kejayaan itu hasil risikan dan operasi bersepadu Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Kontinjen Selangor bersama beberapa Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD).
"Modus operandi digunakan adalah dengan menawarkan kerja sambilan, pelaburan saham dan peluang menjana pendapatan melalui platform digital sebelum mangsa diarahkan membuat bayaran tertentu.
"Ahli sindiket berperanan sebagai operator yang akan berhubung dengan mangsa melalui aplikasi media sosial serta laman web bagi meyakinkan mangsa untuk membuat pelaburan atau menyertai tawaran kerja,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini pada Rabu.
Katanya, ketiga-tiga operasi dijalankan di Bandar Sungai Long, Seri Kembangan dan Puchong membabitkan penahanan 20 individu termasuk seorang lelaki tempatan.
Menurutnya, dalam serbuan pertama pada 23 Januari lalu di Bandar Sungai Long, polis menahan enam individu terdiri daripada seorang lelaki tempatan, empat lelaki warga asing dan seorang wanita warga asing berusia antara 28 hingga 33 tahun.
"Rampasan melibatkan enam komputer, 12 telefon bimbit dan empat unit WiFi mudah alih dianggarkan bernilai RM30,000.
"Sindiket ini beroperasi sejak Disember 2025 dengan menyasarkan warga Australia dan Itali melalui tawaran kerja sambilan dalam talian,” katanya.
Beliau berkata, dalam serbuan kedua pada 26 Januari lalu di Pusat Bandar Putra Permai, Seri Kembangan, polis menahan sembilan lelaki warga asing berusia 27 hingga 35 tahun.
"Rampasan melibatkan sembilan komputer riba, 21 telefon bimbit, satu modem dan satu router bernilai kira-kira RM35,000.
"Sindiket ini aktif sejak November 2025 dan menyasarkan warga China melalui pelaburan saham dalam talian,” katanya.
Jelasnya, serbuan ketiga pada 28 Januari lalu di Bandar Puteri, Puchong pula membawa kepada penahanan lima individu terdiri daripada empat lelaki warga asing dan seorang wanita warga asing berusia antara 25 hingga 36 tahun.
"Rampasan melibatkan lima komputer, dua komputer riba, sembilan telefon bimbit dan satu modem bernilai kira-kira RM20,000.
"Sindiket ini beroperasi sejak Disember 2025 dan menyasarkan warga Pakistan melalui tawaran kerja sambilan di TikTok,” katanya.
Shazeli berkata, siasatan bagi ketiga-tiga kes dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 120B Kanun Keseksaan.
"Bagi kes Bandar Sungai Long, semua suspek telah dituduh di bawah Seksyen 120B(2) Kanun Keseksaan dan didenda RM2,500 setiap seorang.
"Kesemua tangkapan lain direman antara lima hingga tujuh hari dan semakan mendapati mereka tidak mempunyai rekod jenayah serta negatif ujian saringan air kencing," katanya.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dengan tawaran pekerjaan dan pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan dalam tempoh singkat.
"Orang ramai juga diminta menyalurkan maklumat kepada pihak polis sekiranya mengesan aktiviti mencurigakan yang disyaki berkaitan sindiket penipuan 'call center' di kawasan kediaman atau premis perniagaan,” katanya.