Dr Mahathir nafi jadi diktator selama 22 tahun tadbir negara

Iklan
Dr Mahathir. Foto Bernama

SHAH ALAM – Tun Dr Mahathir Mohamad menafikan di Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis bahawa beliau merupakan seorang pemimpin diktator sepanjang 22 tahun menjadi Perdana Menteri.

Bekas Ahli Parlimen Langkawi berusia 100 tahun itu berkata demikian selepas peguam yang mewakili Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menayangkan video bertajuk 'Mahathir: I was a dictator'.

Iklan
Iklan

Dalam prosiding kes saman fitnah berhubung ucapan Perdana Menteri ke-10 itu dalam Kongres Nasional Khas Malaysia Madani: 'Pelaksanaan Sebuah Idealisme', Dr Mahathir menegaskan beliau tidak pernah bersetuju dengan kenyataan tersebut.

“Tiada pemimpin yang mengamalkan pemerintahan diktator akan meletakkan jawatan,” katanya ketika menjawab soalan peguam Ranjit Singh, yang mewakili Anwar, 78.

Iklan

Ranjit: Adakah Tun setuju dengan cadangan saya bahawa reputasi Tun sepanjang 22 tahun berkhidmat sebagai Perdana Menteri bergantung kepada pandangan rakyat, dan jika mereka menganggap Tun seorang diktator, ia akan menjejaskan reputasi sebagai negarawan?

Dr Mahathir: Jika rakyat fikir saya diktator, mereka mungkin fikir begitu.

Iklan

Ranjit: Kalau begitu, sila rujuk video yang mana Tun mengaku sebagai seorang diktator. Tun juga mengulas perkara itu dalam sidang akhbar dan ia dilaporkan oleh pihak media. Adakah Tun nampak?

Dr Mahathir: Ya, nampak.

Ranjit: Dalam berita itu, Tun mengaku sebagai seorang diktator dan menyatakan orang tidak membuat demonstrasi menentang Tun. Adakah Tun faham konsep diktator?

Dr Mahathir: Ya.

Peguam itu kemudiannya mencadangkan bahawa wujud demonstrasi pada tahun 1998 yang menentang pentadbiran Dr Mahathir.

Salah satu peristiwa yang mencetuskan insiden tersebut ialah Ops Lalang pada penghujung 1980-an, melibatkan siri tangkapan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Justeru, beliau berkata, seorang pemimpin yang bertindak sedemikian menjadikannya sebagai seorang ketua yang diktator.

Namun, Dr Mahathir menyatakan bahawa beliau tidak bersetuju dengan cadangan-cadangan tersebut.

Pada 3 Mei 2023, Dr Mahathir memfailkan saman fitnah terhadap Anwar dengan menuntut ganti rugi sebanyak RM150 juta berhubung ucapan berkenaan.

Dalam pernyataan tuntutan, Dr Mahathir mendakwa Anwar telah mengeluarkan beberapa kenyataan berbaur fitnah yang bertujuan menjatuhkan reputasinya.

Menurut beliau, antara kenyataan tersebut termasuk dakwaan bahawa plaintif 'membolot' harta untuk anak-anak dan keluarganya, serta memberikan layanan khas kepada individu berpangkat tinggi.

Katanya, kenyataan itu tidak benar dan menjejaskan imejnya sebagai seorang negarawan dan bekas Perdana Menteri.

Sementara itu, Anwar yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), dalam pernyataan pembelaan bertarikh 14 Jun tahun sama, mendakwa saman Dr Mahathir bertujuan melemahkan kredibilitinya selaku Perdana Menteri, selain mewujudkan perpecahan kaum menjelang pilihan raya negeri (PRN) lalu.

Anwar menyatakan bahawa berdasarkan Sijil Perakuan Segera yang difailkan plaintif, tindakan saman mesti dilupuskan dengan segera memandangkan ketika itu enam negeri akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memberi laluan kepada PRN.

Enam negeri tersebut ialah Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Selain itu, beliau turut membangkitkan isu pemberian kontrak secara langsung kepada Opcom Sdn Bhd, di mana anak ketiga Dr Mahathir, Datuk Seri Mukhriz merupakan pengarah syarikat tersebut dari 30 Mac 1994 hingga 14 Oktober 2009.

Prosiding di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Donald Joseph Franklin bersambung Rabu minggu hadapan.