LIPIS – Penduduk di sekitar Jerantut dan Lipis kini boleh menarik nafas lega apabila projek pembinaan jalan dan jambatan baharu yang menghubungkan kedua-dua daerah itu siap lebih awal daripada jadual asal, sekali gus menamatkan penantian panjang mereka terhadap laluan lebih selesa, selamat dan cepat.
Projek berimpak tinggi itu bukan sahaja memendekkan jarak perjalanan, malah membuka ruang pembangunan baharu dalam bidang keusahawanan, pelancongan dan ekonomi desa yang sekian lama diidamkan penduduk setempat.
Menang Idaman Sdn Bhd (MISB), selaku kontraktor lantikan projek berkenaan dalam kenyataan memaklumkan, pembinaan jalan dan jambatan itu dapat menghubungkan empat kampung iaitu Kampung Labu melalui Kampung Batu Balak, Jerantut ke Kampung Gemunchur dan Kampung Mela, Kuala Lipis.
“Dengan adanya laluan baharu ini, jarak perjalanan yang dahulunya sejauh 60 kilometer (km) dan memakan masa hampir sejam kini hanya mengambil masa 15 minit dengan jarak 17km. Ia bukan sahaja menjimatkan masa, tetapi turut meningkatkan tahap keselamatan penduduk,” menurut kenyataan itu.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Gemunchur, Roslan Idris berkata projek itu amat dinanti-nantikan penduduk kerana ia memudahkan mereka mendapatkan akses ke bandar untuk urusan pendidikan, kesihatan dan pekerjaan.
“Kami bersyukur kerana projek ini akhirnya siap. Ia bukan sekadar jalan, tetapi nadi baharu yang merapatkan jurang pembangunan luar bandar dengan bandar,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi JPKK Kampung Batu Balak, Jerantut, Mohd Johari Umar berkata, pembinaan tersebut akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi desa.
“Jalan yang baik memberi manfaat besar kepada masyarakat, daripada peluang pekerjaan, logistik hingga pelancongan desa. Ia akan menghidupkan semula aktiviti ekonomi kampung dan memberi limpahan kepada komuniti bandar berhampiran,” jelasnya.
Pengarah MISB, Mohd Tarmizi Mohd Zuki mengakui pihaknya berdepan cabaran besar apabila jambatan sementara runtuh sebanyak tiga kali akibat bencana alam, namun pasukannya kekal bersemangat untuk menyiapkan projek itu dengan selamat.
“Setiap cabaran dijadikan pengajaran. Kami menambah baik struktur dan memastikan jambatan kekal kukuh, tahan lama serta memberi manfaat jangka panjang kepada masyarakat,” katanya.
Projek itu diselia oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) sebagai agensi pelaksana, dan telah dibuka kepada penduduk pada 31 Ogos lalu, lebih awal daripada jadual asal pertengahan September.
Majlis perasmiannya disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Selain memperkukuh mobiliti antara Jerantut dan Lipis, laluan baharu ini turut menjadi laluan strategik pelancongan yang menghubungkan Taman Negara Kuala Tahan dengan Cameron Highlands, sekali gus membuka potensi baharu kepada pembangunan wilayah Pahang.