BUTTERWORTH - Seorang pemandu lori didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan memiliki dan menyimpan minyak diesel tanpa kebenaran.
Tertuduh, Mohammad Syafiq Jaily Abdullah, 35, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Roslan Hamid.
Mohammad Syafiq juga berdepan hukuman penjara selama 12 bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Mengikut pertuduhan pertama, Mohammad Syafiq didakwa memiliki sebanyak 2,230 liter diesel yang disimpan secara haram dalam tangki tambahan sebuah lori ketika pemeriksaan dilakukan di Bukit Mertajam pada 7 Julai 2023.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa memiliki 5,507 liter diesel yang disimpan dalam lori tangki sama ketika pemeriksaan di sebuah stesen minyak di Bukit Mertajam pada 25 April 2024.
Dia didakwa mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana melanggar Peraturan 3(1), Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 (Pindaan 2021).
Sabit kesalahan memperuntukkan denda maksimum RM1 juta atau hukuman penjara hingga tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dijalankan oleh Pegawai Pendakwa dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang, Mohd Hilmi Abu Hassan dan Zulaila Zainuddin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Dalam pada itu, mahkamah turut mengeluarkan perintah agar hasil jualan barang rampasan, bayaran bon jaminan kenderaan serta ekshibit yang disita dilucuthak dan dijadikan hasil kerajaan atau dilupuskan.
Difahamkan, Mohammad Syafiq membayar denda berjumlah RM30,000 itu.