Sanusi tarik balik kenyataan fitnah terhadap PM

Iklan
Anwar (kiri), Muhammad Sanusi (kanan).

ALOR SETAR – [DIKEMAS KINI]  Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menarik balik kenyataan-kenyataan yang dibuat terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa program Jelajah PN Best Tambun, tiga tahun lalu.

Menerusi kenyataan bersama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu secara terbuka, suci hati dan tanpa syarat, menarik balik kenyataan yang telah dibuat pada 13 November 2022.

Iklan
Iklan

Sanusi, 51, juga beriltizam tidak mengulangi mana-mana perkataan yang menjadi asas dalam tindakan guaman tersebut.

Tindakan itu dibuat susulan kedua-dua pemimpin seteru terbabit mengambil langkah untuk menamatkan pertikaian peribadi secara muktamad.

Iklan

Persetujuan itu dicapai setelah kedua-dua pihak mempertimbangkan kesan daripada tindakan saman fitnah dan kos perundangan yang bakal ditanggung.

Menerusi kenyataan media, mereka bersetuju bahawa terdapat banyak isu yang lebih besar dan penting yang perlu diberi perhatian demi kepentingan negara.

Iklan

“Bagi mengelakkan kekeliruan daripada prosiding tersebut, penyelesaian berkenaan juga dibuat sebagai usaha kedua-dua pihak untuk menjernihkan keadaan serta mengekalkan hubungan yang baik dan berhemah,” kata kenyataan itu.

Dalam pada itu, Anwar, 78, menghargai usaha murni berkenaan dan bersetuju untuk menarik semula kes terhadap Ahli Jawatankuasa Pas Pusat terbabit tanpa perintah mengenai kos dan kebebasan untuk memfailkan semula saman.

Anwar dan Sanusi turut merakamkan penghargaan kepada Hakim, Dr John Lee Kien How @ Mohamad Johan Lee kerana tanpa usaha mediasinya, penyelesaian ini tidak mungkin berlaku.

Katanya, penghargaan juga diberikan kepada pegawai mahkamah yang terlibat atas profesionalisme dan budi bicara dalam mengendalikan kes tersebut.

Kedua-dua pihak berharap penyelesaian ini diterima dan dihormati oleh semua pihak serta tidak dijadikan bahan untuk mengganggu-gugat kesejahteraan, perpaduan dan keharmonian negara Malaysia.

Pada 16 November 2022, Anwar menuntut permohonan maaf daripada Sanusi berhubung ucapan pemimpin Kedah terbabit, yang didakwa mempunyai unsur fitnah ketika program Jelajah PN Best Tambun.

Anwar memberi tempoh selama tiga hari dari tarikh penerimaan notis untuk Sanusi menjawab dan sekiranya gagal, tuntutan ganti rugi sebanyak RM10 juta akan diteruskan terhadap Sanusi.

Bagaimanapun, Sanusi berkata tidak akan membuat permohonan maaf dan bersedia sekiranya Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu mengemukakan saman terhadap dirinya di mahkamah.

Sementara itu, peguam, Datuk SN Nair yang mewakili Anwar, mengesahkan penyelesaian itu dan telah direkodkan di mahkamah pada pagi Khamis.