JOHOR BAHRU - Empat remaja yang dipercayai terlibat dalam kejadian buli di Jalan Mewah, Kampung Melayu Majidee di sini, ditahan bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kesemua mereka direman selama empat hari bermula Ahad sehingga Rabu ini.
Beliau berkata, kertas siasatan akan dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat.
"Kes ini diklasifikasikan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan reman terhadap empat orang suspek dibenarkan selama empat hari.
"Kertas siasatan akan dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan lanjut," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Pada Ahad, Raub dalam satu kenyataan media meminta mangsa serta saksi yang mempunyai maklumat berhubung dakwaan kejadian buli di Jalan Mewah, Kampung Melayu Majidee yang tular itu supaya tampil membuat laporan.
Terdahulu, tular satu rakaman video kamera litar tertutup (CCTV) yang menunjukkan seorang kanak-kanak lelaki dipercayai menjadi mangsa buli.
Rakaman CCTV berdurasi 23 saat itu memaparkan kejadian yang dipercayai berlaku kira-kira jam 12.39 tengah malam, melibatkan sekurang-kurangnya empat remaja yang disyaki melakukan perbuatan berkenaan terhadap mangsa.
Menerusi rakaman tersebut, kelihatan pantulan cahaya api dipercayai disembur ke arah mangsa yang berada dalam keadaan terbaring dengan tangan seolah-olah terikat.
Tidak lama kemudian, tiga daripada remaja berkenaan dilihat menghampiri mangsa sebelum mengangkatnya, manakala seorang lagi individu dipercayai bertindak sebagai pemantau ketika kejadian.