Roboh rumah: Penduduk Kampung Papan Pandamaran rayu campur tangan MB Selangor

Iklan
Sebahagian penduduk berhimpun dengan memegang sepanduk di hadapan Bangunan SSAAS pada Khamis.

SHAH ALAM - Kira-kira 500 penduduk Kampung Papan, Pandamaran Klang mendesak campur tangan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berhubung notis mahkamah yang memaklumkan rumah mereka bakal dirobohkan pada Ahad dan Isnin ini.

Rata-rata penduduk yang mula meneroka kawasan itu sejak 50 tahun lalu terkejut menerima arahan pengusiran yang disifatkan terlalu mengejut dan tidak berperikemanusiaan.

Iklan
Iklan

Seorang penduduk, M Nathan, 55, meluahkan rasa sedih apabila rumah peninggalan mendiang bapanya yang dibina sejak 50 tahun lalu bakal dirobohkan berikutan arahan pengusiran hujung bulan ini.

Nathan

Menurutnya, dia tidak menentang pembangunan dirancang di kawasan itu, namun kecewa kerana arahan pengosongan dikeluarkan tanpa sebarang surat rasmi atau penyelesaian penempatan baharu.

Iklan

"Rumah yang kami diami ini dibina sendiri oleh ayah saya dan menjadi tempat kami membesar serta berkumpul sejak puluhan tahun lalu.

"Majoriti penduduk sudah lanjut usia dan tidak mampu menyewa rumah lain sekiranya pengusiran diteruskan,” katanya ketika ditemui di hadapan Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS) di sini pada Khamis.

Iklan

Kira-kira 100 penduduk kampung itu mengadakan bantahan secara aman di hadapan Bangunan SSAAS bagi menuntut campur tangan segera kerajaan negeri.

Dalam perhimpunan kira-kira jam 10 pagi itu, penduduk memegang sepanduk bertulis pelbagai tuntutan antaranya 'Kami berjuang sampai dapat rumah', 'Berikan pampasan rumah', dan 'Kerajaan janji kosong'.

Nathan berkata, sebahagian penduduk pernah ditawarkan pampasan sebanyak RM7,000 tetapi menolak kerana jumlah itu terlalu rendah berbanding kos pembinaan rumah yang dibuat dengan usaha sendiri sejak puluhan tahun lalu.

"Dulu ada ura-ura nak beri rumah kos rendah atau rumah teres dua tingkat, tapi semua cakap saja tanpa hitam putih. Sekarang kawasan kami pula hendak dijadikan kawasan industri," katanya.

Menurut Nathan, kawasan Kampung Papan yang dianggarkan seluas 30.8 hektar itu kini diserahkan kepada pihak pemaju untuk pembangunan komersial sekali gus menyebabkan penduduk bimbang hilang tempat tinggal yang diwarisi turun temurun.

"Jangan roboh sebelum ada penyelesaian dan biarlah kami pindah dengan maruah, bukan dihalau,” kata Nanthan.

Seorang lagi penduduk, Teoh Ah Guat, 83, berkata, majoriti penduduk sudah uzur dan tidak menentang pembangunan, sebaliknya menuntut keadilan.

Ah Guat

"Kami harap kerajaan Selangor hentikan pengusiran ini kerana kami sudah menetap di sini sebelum merdeka lagi,” katanya.

Ah Guat yang tinggal bersama suami dan dua anaknya mendakwa janji pemberian pampasan dan rumah kos rendah oleh kerajaan negeri sebelum ini tidak pernah ditunaikan sepenuhnya.

Menurutnya, keputusan Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) pada 2018 menetapkan penduduk ditawarkan rumah teres berkeluasan 20’ x 70’ berharga RM99,000 turut belum dilaksanakan.

"Kami tidak terima apa-apa surat atau jaminan, rumah pun belum siap, tapi kami pula disuruh pindah. Kalau tidak, mereka akan roboh juga,” jelasnya.

Penduduk lain, Low Siew Lam, 55, berkata, mereka tidak menolak pembangunan di kawasan itu, namun mendesak kerajaan negeri memberi dokumen rasmi mengenai pampasan atau rumah ganti yang dijanjikan.

Siew Lam

"Saya bina sendiri empat bilik tidur dan dua bilik air di atas tanah ini, kalau nilai sekarang mungkin lebih RM200,000, jadi pampasan RM7,000 memang tak munasabah,” katanya.

Siew Lam menegaskan, penduduk tidak akan berganjak untuk berpindah atau menyewa di rumah lain selagi tiada penyelesaian muktamad

"Kalau rumah diroboh tanpa ganti, kami nak duduk mana? Kalau perlu, kami sanggup duduk dalam khemah sementara tunggu penyelesaian," tambahnya.

Sementara itu, Penyelaras Gabungan Marhaen, S Arutchelvan atau Arul berkata, pegawai kepada Menteri Besar Selangor memaklumkan satu pertemuan akan diatur antara wakil penduduk dan Exco Perumahan dan Kebudayaan, Datuk Borhan Aman Shah pada Jumaat bagi membincangkan isu berkenaan.

"Kami minta sekurang-kurangnya satu surat rasmi yang mengesahkan pertemuan itu kerana isu ini terlalu serius,” katanya.

Beliau mendakwa, keputusan MTES pada 2018 menetapkan pembinaan 212 rumah kos rendah berharga RM99,000 untuk penduduk Kampung Papan, namun projek itu tidak pernah dilaksanakan.

"Kerajaan negeri sudah kenal pasti penduduk terlibat dan menyerahkan projek kepada pemaju, tapi akhirnya projek itu diserahkan kepada pihak lain.

"Sekarang pemaju sudah dapat perintah mahkamah dan mahu roboh rumah tanpa tunggu rayuan kes didengar. Ini bukan lagi soal undang-undang semata-mata, tapi soal kemanusiaan,” ujarnya.

Arul berkata, seramai 44 keluarga yang memfailkan rayuan di mahkamah sebenarnya sudah mendapat penangguhan perobohan, namun tetap menerima notis pengosongan.

"Majoriti penduduk tak pernah dapat pampasan atau rumah ganti, malah ada yang dah pulangkan balik pampasan RM7,000 sebab tiada rumah ganti dijanjikan,” katanya.