Cadang peserta PLKN 3.0 diserap ke PDRM, ATM, jabatan kerajaan - PKR Pasir Gudang

Iklan
Murad mencadangkan peserta PLKN diberi peluang menyertai PDRM, ATM atau jabatan kerajaan lain selepas tamat latihan.

JOHOR BAHRU – Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 yang bakal dilaksanakan semula tahun hadapan disaran menjadi laluan kepada belia untuk diserap ke dalam pasukan beruniform selepas tamat latihan.

Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pasir Gudang, Murad Jailani berkata, langkah itu mampu melahirkan generasi muda yang bukan sahaja berdisiplin, tetapi juga bersedia menyumbang kepada keselamatan dan pembangunan negara.

Iklan
Iklan

Beliau mencadangkan agar peserta PLKN yang menamatkan latihan diberi peluang menyertai Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) atau jabatan kerajaan lain selepas tamat latihan.

"Peserta boleh diberikan tempoh khidmat lanjutan selama dua tahun dengan elaun atau gaji tetap, sebelum diberi pilihan sama ada untuk meneruskan kerjaya dalam sektor beruniform atau beralih ke bidang pekerjaan lain.

Iklan

“Langkah ini bukan sekadar membantu mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan belia, malah boleh menampung kekurangan anggota keselamatan di peringkat nasional,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Jelas beliau, pelaksanaan semula PLKN 3.0 disifatkan sebagai peluang untuk melahirkan generasi muda yang berdisiplin dan berjiwa patriotik, sekali gus memperkukuh semangat khidmat kepada negara.

Iklan

"Pelaksanaan PLKN di bawah pentadbiran Kerajaan Madani dan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diharap dapat membawa pendekatan baharu yang lebih menyeluruh serta memberi impak langsung kepada pembangunan negara.

"Pelaksanaan PLKN 3.0 yang lebih tersusun dan berorientasikan hasil akan memastikan dana rakyat dimanfaatkan sepenuhnya serta melahirkan generasi muda yang berdaya saing dan sedia berbakti kepada tanah air," ujarnya.

Pada Selasa, media melaporkan seramai 100,000 orang bakal diwajibkan menyertai PLKN 3.0 yang akan bermula tahun hadapan.

Daripada jumlah itu, sebanyak 70,000 melibatkan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dan selebihnya menyasarkan penyertaan orang awam melalui kem wataniah.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, program itu akan dilaksanakan melalui IPT berdasarkan kajian dan proses penilaian keberkesanan yang dilakukan sebelum ini.