REYKJAVIK – Fenomena pemanasan global kini membawa kesan baharu kepada Iceland apabila spesies nyamuk dikesan buat pertama kali di negara yang sebelum ini bebas sepenuhnya daripada serangga tersebut.
Penemuan itu menjadikan Iceland bukan lagi antara dua lokasi di dunia yang tidak mempunyai populasi nyamuk, satu lagi ialah Antartika.
Menurut laporan penyelidik dari Institut Sains Alam Semula Jadi Iceland, tiga ekor nyamuk spesies Culiseta annulata iaitu dua betina dan seekor jantan ditemui di kawasan Kiðafell, Kjós, selepas dikumpulkan oleh seorang ahli sains awam tempatan.
Ahli entomologi, Matthías Alfreðsson yang mengenal pasti spesies tersebut berkata, nyamuk berkenaan dipercayai tahan terhadap suhu sejuk dan mampu hidup sepanjang musim sejuk dengan berlindung di ruang bawah tanah atau bangsal.
“Penemuan ini menunjukkan perubahan besar dalam ekosistem tempatan akibat peningkatan suhu yang mendadak,” katanya.
Iceland kini mencatat kadar pemanasan empat kali lebih tinggi berbanding purata hemisfera utara.
Glasier di seluruh negara itu semakin mencair, manakala ikan dari perairan tropika seperti makarel kini mula ditemui di perairan utara Iceland.
Pakar alam sekitar memberi amaran bahawa perubahan ini bakal mempercepat kehadiran spesies nyamuk lain di rantau itu, sekali gus meningkatkan risiko penularan penyakit tropika seperti denggi, chikungunya dan virus Zika, sesuatu yang sebelum ini dianggap mustahil berlaku di negara kutub utara tersebut.
Penemuan ini menjadi simbol nyata bagaimana krisis iklim global sedang mengubah sempadan biologi dunia dengan cara yang belum pernah dilihat sebelum ini. – Agensi