MARANG – Jawatankuasa Masjid Rusila menafikan menerima sebarang permohonan atau memberi kebenaran kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berhubung aktiviti yang dikatakan diadakan di masjid itu pada 19 September lalu.
Pengerusinya, Mohd Azri Abdul Aziz berkata, pihaknya tidak pernah menerima permohonan secara bertulis atau lisan daripada agensi tersebut berkenaan latihan yang dinyatakan dalam kenyataan rasmi Ketua Pengarah Maritim Malaysia pada Rabu.
“Pihak masjid telah meneliti kenyataan tersebut dan ingin menjelaskan bahawa tiada sebarang permohonan atau permakluman untuk apa-apa aktiviti seperti dinyatakan dalam kenyataan itu, sama ada secara lisan ataupun bertulis,” katanya dalam satu kenyataan di sini, Khamis.
Menurut beliau, pihak masjid turut mendapatkan pengesahan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung perkara itu, namun dimaklumkan bahawa tiada sebarang aktiviti dilaporkan di bawah pengetahuan atau permakluman pihak polis pada hari kejadian.
“Pihak masjid mengambil keputusan untuk membuat laporan polis berhubung perkara ini.
“Selepas laporan dibuat, pihak masjid menerima panggilan telefon daripada wakil Maritim Malaysia yang memaklumkan secara lisan serta membuat permohonan maaf berkaitan perkara tersebut.
“Kami amat kecewa dengan tindakan tidak profesional yang ditunjukkan oleh pihak Maritim Malaysia dalam menangani isu ini,” katanya.
Terdahulu, Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam sesi perbahasan di Dewan Rakyat mempersoalkan bentuk latihan yang dijalankan Maritim Malaysia di masjid berkenaan yang disifatkan seolah-olah mengulang kembali insiden Memali 1985.
Takiyuddin mendakwa, ketika kejadian, sekumpulan 10 hingga 15 individu menaiki lima kenderaan memasuki masjid tersebut tanpa kebenaran.
Menurut beliau, tindakan itu bukan sahaja menimbulkan ketakutan, malah mencetuskan keresahan dalam kalangan jemaah.
Bagaimanapun, Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah dalam kenyataannya pada Rabu menyangkal dakwaan tersebut dan menyatakan bahawa aktiviti itu merupakan sebahagian daripada latihan taktikal Survival, Evasion, Resistance and Escape (SERE) yang dijalankan oleh Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team).
Beliau menyifatkan dakwaan oleh Takiyuddin sebagai tidak berasas dan boleh menjejaskan imej pasukan keselamatan serta moral anggota elit negara.
Menurut beliau lagi, masjid berkenaan hanya dijadikan lokasi untuk beriktikaf dan berehat selepas menunaikan solat Asar, sebelum para pelatih menerima tugasan seterusnya.
Katanya, pihak masjid juga telah dimaklumkan lebih awal mengenai kehadiran mereka dan tidak berlaku sebarang gangguan terhadap jemaah atau aktiviti keagamaan di masjid tersebut.