SHAH ALAM - Madrasah, sekolah pondok ataupun institusi tahfiz tidak seharusnya dijadikan tempat untuk aktiviti pengubahan wang haram atas alasan sumbangan saham akhirat.
Presiden Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Kebangsaan (PINTA), Mohd Zahid Mahmood berkata, semua pihak dinasihati agar tidak mengambil kesempatan ke atas institusi pengajian Islam dengan menjadikannya saluran mencuci wang daripada sumber haram.
“Institusi terbabit untuk pengajian al-Quran ataupun kitab berkaitan Islam. Jangan digunakan untuk kepentingan peribadi. Sebagai contohnya, duit yang kita dapat itu daripada sumber haram dan tidak betul, kemudian kita leburkan kepada institusi tahfiz supaya nampak seolah-olah halal.
“Perbuatan sebegini bukan sahaja menipu masyarakat, tetapi mencemarkan institusi tahfiz dan pusat pengajian Islam. Kita jangan jadikan tempat pengajian agama sebagai saluran untuk menghalalkan cara,” katanya.
Mohd Zahid menegaskan, tindakan pihak tertentu termasuk pengasas kosmetik yang menyalurkan wang haram atas nama sumbangan saham akhirat hanya mencemarkan imej madrasah dan pondok di negara ini.
Beliau berpandangan, sumbangan daripada sumber haram bukan hanya salah dan mencemarkan nama dan imej dan institusi agama, malah ia dikhuatiri boleh memberi kesan buruk kepada pelajar.
“Duit haram itu akan menjadi darah daging pelajar terbabit sendiri. Ia boleh menyebabkan hafazan mereka menjadi sukar dan akhlak pelajar berubah,” ujarnya.
Dalam masa sama, beliau menyeru semua pihak agar menghentikan niat atau perbuatan mengeksploitasi institusi tahfiz, madrasah dan pondok bagi tujuan keuntungan diri.
“Saya menyeru kepada masyarakat dan mana-mana pihak yang mungkin pernah atau berhasrat melakukan perkara seperti itu supaya hentikan segera. ALLAH SWT, Maha Mengetahui setiap perbuatan manusia walaupun manusia tidak tahu,” katanya.
Mohd Zahid turut mengingatkan bahawa kifarah ALLAH SWT boleh datang dengan cepat kepada mereka yang menyalahgunakan nama agama untuk menutup perbuatan dosa.
Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan agar institusi tahfiz lebih berhati-hati menerima sumbangan bagi memastikan setiap dana datang daripada sumber yang halal supaya maruah serta keberkatan pusat pengajian Islam terus terpelihara.
Sementara itu, Presiden Persatuan Maahad Tahfiz Malaysia (Permata Al-Quran), Manolito Mohd Dahlan menyifatkan, institusi agama adalah benteng Islam, tempat yang mulia, tempat menyampaikan ilmu malah merupakan imej utama agama Islam.
Beliau berpandangan, kesalahan dan kelemahan yang dilakukan oleh institusi agama lebih besar mudaratnya jika dibandingkan dengan institusi lain.
"Sewajarnya ia dipelihara serta di jaga dari pelbagai sudut. Justeru, pihak pentadbir agama perlu mempertingkatkan beberapa aspek seperti memastikan institusi didaftar secara sah kerana mudah untuk dipantau oleh pihak berkewajipan.
"Antara lain sistem kewangan teratur, jelas dan beraudit supaya dapat mengelakkan ketirisan dan penyalahgunaan kewangan, pengurusan pentadbiran dan pendidikan bersistematik serta pihak pentadbir juga juga perlu mempunyai pengetahuan serta mengawasi dan cakna tentang isu terkini iaitu buli siber, jenayah siber dan pengubahan wang haram," ujarnya lagi.
Beliau turut menitikberat pelbagai pihak termasuklah media dalam mendidik masyarakat supaya melahirkan masyarakat penyayang dan berintegriti serta membantu membangunkan masyarakat dan negara dengan menapis berita sesuai agar ia tidak disensasikan pihak tertentu serta menimbulkan suasana tidak kondusif dalam masyarakat.
Tegasnya, kes pengubahan wang haram melibatkan institusi Pendidikan Islam perlu diambil iktibar segera dengan tindakan yang holistik, tuntas serta berterusan.
"Tidak cukup dengan hanya menghukum tetapi lebih baik dengan mendidik, membimbing serta meletakkan mekanisme pencegahan terutama oleh pihak berautoriti supaya ia tidak berulang kerana mencegah lebih baik daripada mengubati," ujar Manolito.