SYUKUR. Itu perkataan pertama yang terbit daripada hati Merak Jalanan sebaik sahaja mendengar pengumuman Lembaga Tabung Haji (TH) bahawa kos menunaikan ibadah haji bagi jemaah Muassasah kekal pada kadar RM33,300 untuk musim 2026.
Dalam suasana ekonomi serba mencabar, keputusan itu ibarat hembusan lega buat ribuan bakal tetamu ALLAH yang sudah lama menabung dengan penuh sabar.
Kadar itu tidak berubah sejak tiga tahun berturut-turut walaupun TH berdepan peningkatan kos operasi di Tanah Suci.
Bayangkan, bagi memastikan rakyat berpeluang menunaikan Rukun Islam kelima, TH sanggup menanggung lebih RM210 juta menerusi Bantuan Kewangan Haji. Satu jumlah besar yang menggambarkan betapa seriusnya usaha menjaga kebajikan umat Islam di negara ini.
Struktur bayaran juga kekal berpatutan mengikut kemampuan iaitu RM15,000 bagi kategori B40, RM23,500 untuk M40 dan RM33,300 bagi T20 tanpa bantuan.
Malah, tambahan RM1,000 bantuan kerajaan untuk jemaah B40 memperlihatkan semangat tanggungjawab sosial yang masih subur dalam sistem pengurusan haji negara.
TH turut memaklumkan bahawa 31,600 bakal jemaah akan menerima surat tawaran secara berperingkat mulai 24 Oktober ini. Bagi yang belum terpilih, permohonan rayuan dibuka mulai 3 November melalui aplikasi THiJARI.
Bagi Merak Jalanan, pengekalan kos ini cerminan keprihatinan dan keberkatan dalam usaha memudahkan umat Islam menunaikan panggilan suci itu.
Ia juga bukti bahawa pengurusan haji di negara ini sentiasa berpaksikan amanah dan kejujuran demi kesejahteraan jemaah.
Semoga mereka yang terpilih pada tahun depan beroleh kesihatan, kekuatan dan ketenangan hati untuk menyempurnakan Rukun Islam kelima dengan penuh rasa syukur.